Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Tuesday, August 20, 2024

PROGRAM PIDATO 3 MINIT ASPIRASI GENERASI MADANI PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2024


Pada hari ini, 20 Ogos 2024 (Selasa), SK Bukit Tampoi (A) telah menyertai Program Pidato 3 Minit Aspirasi Generasi MADANI Peringkat Kebangsaan Tahun 2024. Program ini telah diadakan serantak di seluruh negara di sekolah masing-masing. Seramai 12 orang murid telah dipilih untuk menyertai program tersebut.

Program ini diadakan bukan sahaja untuk mendapatkan pengiktirafan Malaysia Book of Records tetapi untuk menggalakkan murid-murid menyertai pidato dalam kalangan sekolah. Sesuai dengan sudut pidato yang diwujudkan di setiap sekolah untuk memberi peluang dan ruang kepada murid-murid menyertai aktiviti tersebut.

Terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana mengambil inisiatif untuk menganjurkan program ini yang sekaligus dapat menambah markah PAJSK murid agar pelibatan murid di peringkat kebangsaan.

Monday, August 19, 2024

PELANCARAN BULAN KEMERDEKAAN 2024

Bulan Kemerdekaan 2024 telah dilancarkan secara rasminya pada 19 Ogos 2024 (Isnin) yang telah dirasmikan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor, Guru Besar SK Bukit Tampoi (A). Turut sama pada majlis perasmian tersebut adalah GPK Pentadbiran, GPK Hal Ehwal Murid dan GPK Kokurikulum.

Tema Bulan Kemerdekaan pada tahun ini adalah "Malaysia MADANI Jiwa Merdeka" membawa makna yang dekat dengan hati murid-murid sekalian. Mereka perlu meningkatkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang di dalam kelas masing-masing.

Gimik perasmian pada tahun ini adalah mengibarkan Jalur Gemilang yang perlu dikeluarkan daripada bongkah ais. Persembahan yang sangat unik bagi murid-murid di SK Bukit Tampoi (A) ini. Pelbagai aktiviti yang dirancang diadakan di sepanjang program ini berlangsung.

Semoga murid-murid mendapat manfaat daripada program ini. Pada masa yang sama, kuiz kemerdekaan telah dijalankan selepas acara perasmian di tapak perhimpunan. Beberapa orang murid telah dipilih untuk menjawab soalan spontan tersebut. Murid yang berjaya menjawab dengan tepat telah diberikan hadiah.

KEHADIRAN KELAS TERBAIK JULAI 2024

Anugerah Kehadiran Kelas Terbaik bagi Julai 2024 adalah Tahun 5 Dahlia

HASIL TUAIAN PERTAMA SISTEM ORGANOPONIK 2024

Tanaman Sistem Organoponik atau lebih dikenali sebagai sistem rumah hijau adalah usaha sama di antara SK Bukit Tampoi (A) bersama MyKasih Foundation dan Urban Hijau. Projek ini telah mendapat tajaan daripada Latin Women Organisation dan Linde.

Projek yang telah dimulai pada Julai 2024 telah membuahkan hasil. Pada 16 Ogos yang lalu, murid-murid dan guru pembimbing bersama En. Irfan daripada Urban Hijau telah bersama-sama memetik hasil pertama daripada projek ini. Hasil pertama ini telah dituai, dibersihkan, ditimbang dan dibungkus oleh murid-murid sekolah ini.

Hasil yang telah siap dibungkus diagihkan kepada murid-murid yang turut serta dalam projek ini. Ini sebagai motivasi kepada mereka agar lebih gigih berusaha untuk meningkatkan produktiviti tanaman mereka. Di samping itu, ia juga memberi semangat kepada murid-murid untuk meneruskan usaha mereka menjaga dan memelihara tanaman mereka agar lebih baik dan terurus.

Terima kasih kepada MyKasih Foundation, Latin Women Organisation, Linde dan Urban Hijau kerana memberi peluang kepada murid-murid sekolah ini menimba ilmu baharu berkaitan pertanian moden agar mereka boleh gunakan untuk menjana pendapatan sendiri pada suatu hari nanti. Diharapkan projek ini dapat diteruskan sehingga murid-murid boleh melaksanakan segala aktiviti pertanian ini sendiri.



Friday, August 16, 2024

TAKLIMAT PROGRAM INTERVENSI KURIKULUM TAHUN 1 SESI 2024

Taklimat Program Intervensi Kurikulum Tahun 1 Sesi 2024 telah diadakan pada 16 Ogos 2024 (Jumaat) di bilik Sains, SK Bukit Tampoi (A). Taklimat ini diadakan adalah untuk memberikan penerangan kepada ibu bapa tentang program tersebut agar ibu bapa sentiasa peka akan perkembangan pembelajaran anak mereka.

Taklimat ini telah dirasmikan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor, Guru Besar SK Bukit Tampoi (A) dan penerangan berkaitan program disampaikan oleh Pn. Noresah binti Sapari, GPK Pentadbiran. Program ini dilaksanakan buat murid Tahun 1 bagi menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Program dilaksanakan pada 2 fasa iaitu Fasa 1 dari Julai hingga September dan Fasa 2 dari Oktober hingga Disember. Diharapkan dengan pelaksanaan program ini, murid-murid Tahun 1 dapat menguasai kemahiran 3M dengan jayanya.