Wednesday, March 23, 2022
WAKTU AKTIVITI KOKURIKULUM SK BUKIT TAMPOI (A) TAHUN 2022/2023
Monday, March 21, 2022
PROGRAM ZIARAH CAKNA 2022
Program Ziarah Cakna merupakan aktiviti guru sekolah menjejaki murid-murid yang tidak hadir ke sekolah dalam masa yang lama. Sudah hampir dua tahun program ini ditangguhkan kerana pandemik Covid-19. Alhamdulillah dengan sokongan daripada JPN Selangor dan PPD Sepang program ini dapat diteruskan kembali pada tahun ini.
Fokus ziarah cakna pada kali ini adalah ke KOA Bukit Baja khususnya murid Tahun 5 dan Tahun 6. Seramai 8 orang murid Tahun 5 dan 2 orang murid Tahun 6 yang terlibat. Murid-murid ini telah dikenalpasti sebagai murid yang tidak hadir tegar pada tahun 2021. Walau bagaimanapun pada hari pertama persekolahan ini 4 orang daripada 10 orang murid telah hadir ke sekolah. Mereka telah didampingi pegawai-pegawai JPN Selangor untuk memberikan nasihat dan motivasi agar mereka terus hadir ke sekolah seperti murid-murid lain. Selebihnya akan diziarahi oleh rombongan ziarah cakna ke tempat tinggal mereka.
SK Bukit Tampoi (A) sangat berbesar hati untuk menerima kunjungan Pn. Hjh. Marpuaton binti Sastero (Timb. Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah) serta pegawai-pegawai daripada Sektor Pembelajaran & Sekolah Jenis Khas dan pegawai-pegawai PPD Sepang. Mereka bersama-sama pihak sekolah dan YDP PIBG. Rombongan ziarah cakna telah disambut oleh Tok Batin Jalil bin Long selaku Batin KOA Bukit Baja. Hasil ziarah cakna, kami berjaya berjumpa dengan 5 orang murid daripada 6 orang murid yang tidak ke sekolah. Tok Batin telah mengesahkan bahawa murid yang seorang lagi telah berpindah ke Port Dickson tanpa memberikan maklumat perpindahan kepada pihak sekolah.
Terlebih dahulu rombongan ini telah singgah di sekolah untuk menyampaikan hadiah kehadiran cemerlang kepada murid-murid yang mencatatkan kehadiran cemerlang sepanjang tahun 2021. Selain daripada itu, puan Timbalan Pengarah turut melawat projek pertanian yang diusahakan oleh murid-murid sebelum ini. Projek ini dijalankan bagi menarik kehadiran murid-murid ke sekolah selain beberapa program jalinan dan jaringan daripada komuniti setempat. Terima kasih kami ucapkan kepada JPN Selangor, PPD Sepang, YDP PIBG dan Tok Batin KOA Bukit Baja kerana telah sudi turun padang melihat sendiri usaha sekolah dalam menangani masalah kehadiran murid ke sekolah. Semoga lawati ke kampung dapat membuka mata murid-murid dan ibu bapa bahawa pendidikan sangat penting untuk masa depan yang cemerlang.
PEMANTAUAN PEMBUKAAN SEKOLAH PPS DAN PPD SEPANG TAHUN 2022
Pada hari pertama ini, sekolah ini telah dipantau oleh Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang terdiri daripada 2 orang pegawai polis dari Balai Polis Dengkil iaitu Kpl Hairul dan Kpl Andalus. Tugas PPS adalah untuk memastikan pihak sekolah mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Turut sama melakukan pemantauan adalah Pegawai PPD Sepang iaitu En. Rosli bin Ahmad. Beliau ditugaskan untuk memantau perjalanan pembukaan sesi persekolahan bagi pihak PPD Sepang. Pihak sekolah amat mengalu-alukan pemantauan daripada PPS dan PPD Sepang sebagai sebahagian daripada jalinan dan jaringan sekolah dengan pemegang taruh dan agensi kerajaan lain.
Friday, March 18, 2022
SUMBANGAN PAKAIAN SERAGAM SEKOLAH TAHUN 2022
Pakaian seragam sekolah ini disumbangkan oleh En. Samsul yang merupakan seorang pekerja swasta yang dermawan. Beliau bermurah hati untuk menyumbangkan sepasang pakaian seragam sekolah kepada murid-murid yang beragama Islam kerana sumbangan ini merupakan sumbangan zakat.
Terima kasih kepada En. Samsul kerana telah sudi untuk memberi sumbangan kepada 10 orang murid SK Bukit Tampoi (A). Sumbangan ini sungguh bermakna kepada murid-murid sekolah ini kerana mereka terdiri daripada keluarga yang berpendapatan rendah (B40).
Sejurus selepas membeli pakaian seragam sekolah, murid-murid dibawa pula untuk menjamu selera di restoran makanan segera di pekan Dengkil.