Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Tuesday, August 6, 2024

PROGRAM GOTONG-ROYONG LINDE DAN MYKASIH FOUNDATION 2024

Program gotong-royong syarikat Linde dan MyKasih Foundation telah diadakan pada 6 Ogos 2024 (Selasa) bertempat di SK Bukit Tampoi (A). Program ini disertai olah seramai 31 orang daripada syarikat Linde, 1 orang daripada MyKasih Foundation dan 3 orang daripada Urban Hijau.

Tujuan program ini diadakan adalah sebagai sebahagian daripada program CSR syarikat untuk memberi sumbangan kepada komuniti setempat. Aktiviti khusus yang diadakan adalah menyediakan batas pertanian melalui penyediaan medium tanaman yang bersistematik dan menanam pokok yang hasilnya boleh dimakan.

Para sukarelawan Linde telah hadir awal ke sekolah dan berkumpul di kantin sekolah. Sejurus selepas ketibaan pengurus Linde satu taklimat ringkas telah diadakan. Taklimat yang disampaikan oleh En. Irfan daripada Urban Hijau tentang proses kerja yang akan dilakukan pada hari ini.

Peringkat yang pertama, mereka perlu menyediakan batas tanaman dengan menggunakan bata-bata yang sedia ada. Kemudian mereka perlu menggemburkan tanah pada batas tersebut. Pada peringkat yang kedua, medium tanaman perlu ditaburkan secara berlapis seperti tanah, serbuk kayu, daun kering dan baja kompos.

Pada peringkat yang ketiga, mereka telah menanam anak-anak pokok pada batas tanaman yang telah disediakan sebelum itu. Akhir sekali tanaman tersebut perlu disiram akan tanah menjadi lembap dan pokok boleh terus hidup.

Terima kasih kepada syarikat Linde, MyKasih Foundation dan Urban Hijau di atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program gotong-royong di sekolah ini. Murid-murid dan guru-guru akan meneruskan projek ini dengan menjaya tanaman tersebut sehingga mengeluarkan hasil. Semoga projek ini dapat memberikan manfaat kepada warga sekolah nanti.

SUMBANGAN PAKAIAN SUKAN BOLA SEPAK VIVO TAHUN 2024

Vivo Malaysia dengan kerjasama daripada MyKasih Foundation telah menyerahkan 15 set pakaian sukan bola sepak kepada 15 orang murid SK Bukit Tampoi (A). Penyerahan set pakaian tersebut telah disampaikan oleh wakil daripada Vivo Malaysia dengan disaksikan oleh wakil MyKasih Foundation.

Sumbangan tersebut adalah hasil jualan produk Vivo sempena Euro 2024. Sebahagian daripada hasil jualan akan disumbangkan kepada sekolah-sekolah yang terpilih sebagai penerima. Sumbangan tersebut terdiri daripada sepasang kasut bola, sepasang stokin, sin pad dan sepasang jersi bola sepak.

Terima kasih diucapkan kepada Vivo Malaysia dan MyKasih Foundation kerana memilih SK Bukit Tampoi (A) sebagai salah satu penerima sumbangan tersebut. Sumbangan ini akan kami gunakan sebaik mungkin untuk pertandingan bola sepak yang disertai. Semoga Vivo Malaysia dan MyKasih Foundation lebih gemilang pada masa akan datang.

Friday, July 26, 2024

PROJEK POTONG POKOK MATI SK BUKIT TAMPOI (A)

Projek Potong Pokok Mati telah dilaksanakan pada 25 Julai 2024 (Khamis) oleh kontraktor swasta. Hanya sebatang pokok mati sahaja yang ditebang kerana beberapa dahan pohon yang reput telah patah. Tindakan pantas En. Yusoh bin Alip dengan menghubungi Majlis Perbenadaran Sepang (MPS) telah berjaya mendapat respon yang positif dan tindakan yang pantas.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada En. Yusoh bin Alip selaku AJK PIBG SK Bukit Tampoi (A) khususnya dan PIBG SK Bukit Tampoi (A) amnya di atas tindakan segera yang diambil bagi menyelesaikan masalah berkaitan pokok mati yang membahayakan nyawa murid-murid di sekolah ini.

Tindakan yang proaktif ini perlu untuk menyelesaikan masalah yang berkait dengan keselamatan dan kebajikan murid-murid sekolah ini. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk program dan projek anuran PIBG SK Bukit Tampoi (A).

Friday, July 5, 2024

KARNIVAL PENDIDIKAN MURID ORANG ASLI DAN PERIBUMI 2024


Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi Peringkat Negeri Selangor tahun 2024 bawah Inisiatif #57: Transformasi Pendidikan Orang Asli dan Peribumi telah diadakan pada 4 Julai 2024 (Khamis) bertempat di SK Bukit Lanjan, Damansara Perdana. Sebanyak 11  buah sekolah murid Orang Asli di Selangor telah menyertai karnival tersebut.

SK Bukit Tampoi (A) telah menyertai beberapa acara yang dipertandingkan iaitu syair, nyanyian solo, nyanyian duet dan tarian tradisional yang melibatkan 12 orang murid. Oleh kerana tempat pertandingan berada dalam kawasan yang terkenal dengan kesesakan lalu-lintas. Pihak sekolah telah mengambil inisiatif untuk bermalam di rumah penginapan yang disewa agar para peserta tidak lewat untuk hadir ke tempat pertandingan.

Walaupun penyertaan pada tahun ini hanya saguhati, namun pencapaian pada tahun ini adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya. Semoga penyertaan pada tahun hadapan lebih baik daripada tahun ini. Terima kasih kepada semua jurulatih yang terdiri daripada guru-guru yang bertungkus-lumus untuk menyediakan segala persiapan yang diperlukan untuk ke karnival pada tahun ini. Teruskan usaha kalian agar membuahkan hasil pada tahun akan datang.

Terima kasih kepada Unit Sekolah Jenis Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor di atas penganjuran karnival ini kerana memberi peluang kepada murid-murid khususnya murid Orang Asli untuk menyertai aktiviti ko-akademik seperti murid di aliran perdana. Tahniah dan terima kasih juga diucapkan kepada SK Bukit Lanjan yang menjadi tuan rumah kepada karnival pada tahun ini.

SINCERELY, SETIA SPECIAL CELEBRATION : WORLD ENVIRONMENT DAY 2024


Sincerely, Setia Special Celebration : World Environment Day
2024 telah diadakan pada 4 Julai 2024 (Khamis) bertempat di Club 360, Setia Ecohill, Semenyih, Selangor yang dianjurkan oleh SP Setia Foundation. Seramai 15 orang murid dan 2 orang guru pengiring telah dijemput untuk menyertai program tersebut. Selain daripada SK Bukit Tampoi (A), terdapat juga sekolah angkat di bawah SP Setia Foundation iaitu SK Semenyih, SJK(C) Kampung Baru Semenyih dan SJK(T) Ladang Rinching.

Pelbagai aktiviti yang menarik telah disertai oleh semua murid seperti ice breaking, South Creek@Setia Ecohill dan latihan dalam kumpulan. Murid-murid sangat teruja dengan aktiviti-aktiviti yang disediakan oleh penganjur. Selain daripada itu, mereka dapat berkenalan di antara murid-murid dari sekolah-sekolah angkat SP Setia Foundation.

Terima kasih kepada SP Setia Foundation kerana sudi menjemput SK Bukit Tampoi (A) untuk menyertai program yang sangat bermakna buat anak-anak murid kami. Mereka sangat gembira kerana dapat pergi ke Club 360, Ecohill Semenyih yang sangat indah dan luar biasa. Semoga dengan penyertaan murid-murid sekolah ini dapat menimba pengalaman yang sangat bermakna dalam kehidupan mereka.