Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Friday, June 16, 2017

PEMANTAUAN KELAS KEDAP 2017


Kelas Dewasa Orang Asli dan Penan (KEDAP) adalah kelas pengajaran dan pembelajaran untuk Orang Asli yang masih tidak boleh membaca dalam kalangan orang dewasa. Pada 15 Jun 2017 (Khamis) yang lepas, suatu pemantauan telah dibuat oleh beberapa pegawai dari Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Para pegawai yang datang membuat pemantauan adalah dari Bahagian Sekolah Harian (BSH) dan Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU). Tujuan kedatangan mereka adalah untuk memantau pelaksanaan kelas KEDAP di sekolah Orang Asli. Pemantauan mereka meliputi kehadiran pelajar, penggunaan peruntukan dan pengajaran dan pembelajaran kelas.

Turut hadir adalah Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan beberapa orang pegawai PPD Sepang. Tuan Timbalan Pengarah turut mengambil peluang ini untuk memberikan ucapan untuk memotivasikan para pelajar meningkatkan penguasaan diri agar boleh membaca dan mengira dengan betul.

Alhamdulillah, kerana pemantauan telah mendapat respon yang positif daripada semua pihak. Ini memberi keyakinan diri kepada pentadbir dan tenaga pengajar untuk meneruskan usaha untuk membantu para pelajar mencapai objektif supaya mereka boleh membaca dan mengira agar julat buta huruf di bandar dapat dikurangkan. Pemantauan  tamat pada pukul 5.00 petang.










PROGRAM SUMBANGAN KACAMATA PERCUMA


Pada 13 Jun 2017 (Selasa) yang lepas sekumpulan pekerja dari Mercu Optometry telah datang ke sekolah untuk membuat pemeriksaan mata kepada semua murid Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6. Pemeriksaan dibuat adalah untuk mengenal pasti murid yang memerlukan kacamata untuk membantu murid melihat dengan lebih baik.

Selepas pemeriksaan, seramai tujuh orang murid telah terpilih untuk menerima kacamata secara percuma. Kos untuk membuat sepasang kacamata telah disumbangkan oleh sekumpulan sukarelawan yang bermurah hati untuk membiayai semua kos.

Terima kasih diucapkan kepada para penyumbang kerana sudi memberikan sumbangan kepada sekolah kami. Pihak sekolah amat mengalu-alukan pihak luar untuk memberikan sumbangan kepada murid-murid mahupun kemudahan sekolah. Dengan sumbangan seperti ini dapat meringankan beban keluarga mereka untuk memenuhi keperluan keluarga terutamanya melibatkan pendidikan. Semoga mereka yang memberikan sumbangan mendapat keberkatan rezeki. 






Wednesday, June 7, 2017

PROGRAM SARANA SEKOLAH : SUMBANGAN KOMPUTER OLEH KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI (MOSTI) 2017


Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) telah bersetuju untuk menyumbangkan dua set komputer peribadi (PC) kepada sekolah. Sumbangan set komputer tersebut telah diterima oleh Guru Besar, SK Bukit Tampoi (A). Set komputer ini ditempatkan di makmal komputer sebagai salah satu sumber Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK 21).

Ini merupakan sebahagian daripada Program CSR MOSTI kepada masyarakat terutama masyarakat Orang Asli. Komputer tersebut telah dipautkan ke laman sesawang MOSTI di mana murid boleh belajar dan melihat secara langsung cakrawala alam semesta. Murid-murid boleh melihat dan menyaksikan fenomena-fenomena yang jarang berlaku seperti gerhana bulan dan gerhana matahari.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada MOSTI di atas sumbangan yang diberikan kepada sekolah ini. Sumbangan ini akan kami manfaatkan sebaik mungkin demi kemajuan pendidikan anak-anak Orang Asli di sini. Semoga mereka memperoleh ilmu baharu menggunakan pendekatan yang terkini.


Wakil MOSTI menyerahkan Set Komputer kepada Guru Besar


Dua Set Komputer


Perbincangan Profesional bersama wakil MOSTI


Pemasangan set komputer


Taklimat Penggunaan Komputer


Bergambar bersama GPK HEM, wakil MOSTI dan wakil JAKOA

Sunday, May 28, 2017

PROGRAM THE CHAMPION


Program The Champion merupakan satu program yang telah diilhamkan oleh mantan Pengarah JPN Selangor dalam usaha untuk membantu meningkatkan pencapaian sekolah dalam bidang akademik dengan melakukan lonjakan saujana dalam peperiksaan UPSR dan bermatlamatkan negeri Selangor berada pada kedudukan satu pertiga teratas berbanding negeri-negeri lain dapat direalisasikan.

Sehubungan dengan itu, SK Bukit Tampoi (A) tidak ketinggalan dengan turut sama mengambil pendekatan proaktif dengan melaksanakan program seperti yang telah diamanatkan. Memandangkan Program The Champion  JPN Selangor adalah seiring dengan Program Anjakan Terbilang Akademik Sepang (PANTAS) maka Unit Kurikulum sekolah mengambil keputusan untuk menggabungkan kedua-dua program tersebut.

Aktiviti program The Champion ini menumpukan kepada peningkatan kualiti (semua A). Murid-murid dibahagikan mengikut kumpulan kecil. Mereka dikehendaki untuk membuat ulangkaji mengikut masa yang ditetapkan iaitu semasa cuti sekolah dan cuti hujung minggu di rumah ahli secara berkumpulan secara bergilir-gilir. Proses pembelajaran ini diteruskan sehingga hampir waktu peperiksaan UPSR.