Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Friday, August 3, 2018

PROGRAM BERTEMU IBU BAPA MURID TAHUN 6 SESI 2018


Program Bertemu Ibu Bapa Murid Tahun 6 Sesi 2018 telah diadakan pada 3 Ogos 2018 (Jumaat) pada pukul 9.00 pagi. Program tersebut telah dibuat di bilik darjah baharu Tahun 6. Ibu bapa dan penjaga murid Tahun 6 telah dijemput hadir untuk mendengar amanat daripada pihak sekolah tentang Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Turut hadir pada program tersebut adalah En. Ilam bin Senin, Yang Dipertua PIBG SK Bukit Tampoi (A) dan En. Azman Shah bin Mohd. Yunus (GPK Pentadbiran).

Puan Siti Saadah binti Mukrim selaku guru besar sekolah telah menyampaikan beberapa perkara berkaitan persediaan murid untuk menghadapi peperiksaan. Beliau turut menjelaskan tentang program-program kurikulum yang telah dibuat dan disertai oleh murid-murid khususnya Tahun 6. Harapan pihak sekolah agar ibu bapa lebih mengambil berat akan pendidikan dan masa depan anak masing-masing dengan menggalakkan mereka hadir ke sekolah.

Program diakhiri dengan melafazkan akujanji murid di hadapan ibu bapa, guru-guru dan pentadbir sekolah. Semua murid Tahun 6 wajib menandatangani surat perjanjian yang menyatakan kewajipan mereka untuk hadir ke sekolah dan memberi tumpuan terhadap pelajaran yang disampaikan oleh guru  di sekolah. Lafaz ikrar murid telah diketuai oleh adik Nur Natasha binti Muhammad Alwi. Selamat maju jaya diucapkan kepada semua murid Tahun 6 Sesi 2018 dalam menduduki peperiksaan UPSR 2018 kelak.








PROGRAM GOGORAMA BERSAMA MILO 2018



Program Gogorama bersama Milo telah diadakan pada 3 Ogos 2018 (Jumaat) di tapak perhimpunan sekolah. Program Gogorama adalah aktiviti senamrobik yang dilakukan di SK Bukit Tampoi (A) pada setiap hari Selasa dan Khamis. Tujuan aktiviti ini dijalankan adalah untuk meningkatkan kehadiran murid ke sekolah.

Kali ini program ini diteruskan dengan kehadiran van Milo yang sering datang ke sekolah untuk memberi sumbangan minuman Milo percuma kepada semua warga sekolah. Ini merupakan sebahagian daripada Sumbangan Komuniti Korporat (CSR).

Terima kasih diucapkan kepada Nestle Berhad kerana telah menyumbangkan minuman Milo kepada warga sekolah kami. Semoga kerjasama seperti ini dapat diteruskan untuk kesihatan dan kebaikan bersama.













Monday, July 30, 2018

KEM KECEMERLANGAN UPSR MURID ASLI NEGERI SELANGOR TAHUN 2018


Kem Kecemerlangan UPSR Murid Asli Negeri Selangor telah diadakan di Pusat Latihan JAKOA Damansara Damai dari 25 hingga 27 Julai 2018. Seramai 3 orang murid Tahun 6 telah menyertai kem tersebut. Kem ini telah dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.


Peserta telah didedahkan dengan teknik menjawab soalan bagi mata pelajaran UPSR seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Turut serta di dalam kem ini adalah murid-murid daripada sekolah-sekolah Orang Asli dari seluruh negeri Selangor.

KEM TEKNIK MENJAWAB SOALAN UPSR 2018


Kem Teknik Menjawab Soalan UPSR 2018 telah diadakan di Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang. Kem ini telah diadakan selama 2 hari 1 malam bermula pada 24 dan 25 Julai 2018. Seramai 55 orang murid Tahun 6 dari dua buah sekolah iaitu SK Bukit Tampoi (A) seramai 24 orang manakala SK Jenderam seramai 31 orang. Selain daripada itu seramai 8 orang guru pengiring, empat orang guru dari sekolah masing-masing.










Kem ini dianjurkan oleh UEM Edgenta yang menaja program-program di bawah program sekolah angkat. Ini merupakan sebahagian daripada Program tanggungjawab Khidmat Masyarakat (CSR). Tujuan kem ini diadakan adalah untuk membantu murid-murid Tahun 6 bersedia menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018 yang tidak berapa lama lagi.






Terdapat empat mata pelajaran utama yang terlibat iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Setiap mata pelajaran dikendalikan oleh dua orang fasilitator yang dibekalkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Sepang. Terima kasih diucapkan kepada UEM Edgenta, yang sudi menaja kem ini. Tidak lupa juga kepada PPD Sepang yang telah bekerjasama membekalkan fasilitator untuk murid-murid belajar teknik yang mudah dan efisyen serta guru-guru dan murid-murid SK Jenderam kerana sudi menyertai kem ini bersama sekolah kami.


Monday, July 23, 2018

MAJLIS PELANCARAN "HIGHLY IMMERSIVE PROGRAMME"


Majlis pelancaran Highly Immersive Programme telah dilancarkan pada 23 Julai 2018 (Isnin). Majlis pelancaran telah dirasmikan oleh Pn. Siti Saadah binti Mukrim (Guru Besar). Program ini menggalakkan warga sekolah untuk berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris sepanjang masa dalam satu hari. Ini adalah sebahagian daripada Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI).