Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Monday, November 11, 2019

MAJLIS PENYERAHAN SUMBANGAN PROGRAM SOKONGAN DIDIKAN EDRA TAHUN 2019


Majlis penyerahan sumbangan Program Sokongan Didikan Edra bagi tahun 2019 telah diadakan di SK Bukit Changgang pada 11 November 2019 (Selasa). Majlis ini bermula dari pukul 9.30 pagi hingga 12.00 tengah hari. SK Bukit Changgang telah dipilih sebagai penganjur kepada majlis ini pada tahun ini.

Tetamu yang dijemput pada majlis tersebut adalah Pengurus Kuala Langat Power Plant Sdn. Bhd., Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, pegawai PPD Kuala Langat dan pegawai PPD Sepang. Turut hadir adalah Guru Besar-Guru Besar sekolah yang terlibat.

Terdapat 5 buah sekolah dari daerah Kuala Langat dan 1 buah sekolah dari daerah Sepang telah dipilih oleh Edra Power Holding Sdn. Bhd. Sekolah-sekolah dari daerah Kuala Langat adalah SK Bukit Changgang, SK Rancangan Tanah Belia, SK Labohan Dagang, SK Bukit Tadom (A) dan SK Olak Lempit. Manakala sekolah dari daerah Sepang adalah SK Bukit Tampoi (A).

Setiap sekolah telah menghantar 1 orang guru dan 4 orang murid Tahun 5 untuk menerima sumbangan pada majlis tersebut. Sumbangan yang diterima adalah cek di antara RM3000 hingga RM5000 bergantung kepada sekolah. Selain daripada itu, setiap murid Tahun 5 akan menerima sumbangan beg sekolah dan baucer kasut Bata.

Sebagai tuan rumah, SK Bukit Changgang menerima tambahan RM5000 berupa barangan pengajaran dan pembelajaran. Sekolah tersebut telah memilih untuk mendapatkan sebuah Papan Pintar (Smart Board) yang diletakkan di Makmal Komputer sekolah. Semoga dengan sumbangan ini dapat membantu pihak sekolah merancang dan menjalankan program-program sekolah yang amat memerlukan dana sumbangan dari pihak luar.








EMPATHISING EVENT 2019


Empathising Event merupakan program yang dianjurkan oleh Kelab Ariston, Universiti Heriot Watt bagi mengukuhkan pembelajaran murid di dalam bilik darjah. Program ini dijalankan pada 8 November 2019 (Jumaat) dari pukul 8.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari.

Program ini telah melibatkan murid-murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6. Walau bagaimanapun, kehadiran murid tidak memuaskan kerana hujan pada awal pagi yang menyebabkan ramai murid tidak dapat hadir ke sekolah.

Walaupun begitu, program ini tetap terus dijalankan seperti yang dirancang. Aktiviti yang dijalankan berjaya menarik minat murid-murid untuk terus hadir ke sekolah serta melibatkan diri untuk turut serta di dalam setiap program dan aktiviti yang dijalankan.

Terima kasih kepada Kelab Ariston yang sudi bekerjasama dengan SK Bukit Tampoi (A) untuk memberikan pendidikan di luar bilik darjah bagi memberi dimensi baharu dalam skop pembelajaran masa kini. Kami berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada tahun hadapan dengan aktiviti yang lebih menarik lagi.












SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1441 HIJRAH / 2019 MASIHI


Maulidur Rasul 1441 Hijrah telah disambut oleh warga SK Bukit Tampoi (A) pada 8 November 2019 (Jumaat). Satu majlis sambutan telah diadakan di Bilik Pendidikan Islam yang dihadiri oleh semua guru dan staf sokongan. Turut hadir ialah En. Ilam bin Senin (YDP PIBG) yang turut menghormati sambutan dan amalan umat Islam di sini. 

Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Pn. Siti Saadah binti Mukrim (Guru Besar). Kemudian diikuti dengan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W. Di akhir majlis, para guru dan AJK PIBG dihidangkan dengan jamuan yang disediakan. Terima kasih diucapkan di atas keprihatinan guru-guru dan AJK PIBG yang menghormati agama lain.




Thursday, November 7, 2019

LAWATAN PRASEKOLAH KE BERYL'S CHOCOLATE FACTORY & FARM IN THE CITY 2019




Lawatan Prasekolah SK Bukit Tampoi (A)bagi tahun 2019 telah diadakan ke Beryl's Chocolate Factory dan Farm In The City. Seramai 44 orang peserta yang terlibat di dalam lawatan ini. Mereka terdiri daripada 1 orang guru prasekolah, 1 orang pembantu murid prasekolah, 17 orang ibu bapa dan 25 orang murid.

Kami telah bertolak dari sekolah pada pukul 7.30 pagi dengan sebuah bas. Tempat persinggahan pertama adalah di gerai makan UPM yang terletak di luar pagar 9 UPM bersebelahan dengan sebuah tasik untuk sarapan pagi. 

Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Beryl's Chocolate Factory yang terletak di Serdang. Di sana kami dibawa melawat kilang pembuatan coklat, menyaksikan tayangan cara pembuatan coklat  dan muzium coklat. Selepas lawatan ke kilang dan muzium, kami mengambil peluang untuk membeli coklat di pusat jualan terletak di dalam kilang tersebut.

Seterusnya kami ke Beryl's Biscuit Factory yang terletak tidak jauh dari kilang coklat tersebut. Di sana kami dibawa menyaksikan tayangan pembuatan beberapa jenis biskut yang dikeluarkan oleh kilang tersebut. Kemudian kami dibawa pula melihat operasi pembuatan biskut dan diakhiri dengan aktiviti membeli-belah produk biskut dari pusat jualan kilang tersebut.

Sejurus tamat lawatan kami di kilang, kami singgah semula ke gerai makan UPM untuk makan tengah hari. Setelah itu, kami singgah di masjid UPM untuk solat Zohor. Kemudian kami meneruskan aktiviti lawatan ke Farm In The City yang terletak di Seri Kembangan.

Di Farm In The City, kami diiringi oleh seorang pemandu pelancong (tour guide). Kami telah ditunjukkan tunjukkan dengan pelbagai jenis haiwan tempatan dan luar negara. Kami juga diberi peluang untuk memberi haiwan makan seperti kuru-kura, kambing, rusa dan arnab. Murid-murid prasekolah pula diberi kebenaran untuk menangkap ikan di kolam ikan.

Lawatan kami diakhiri dengan menyaksikan pertunjukkan burung kakak tua. Persembahan mereka meliputi aksi-aksi seperti bertutur, berlakon dan menaikkan bendera. Para peserta lawatan sangat teruja dan gembira dengan hasil lawatan yang diadakan pada tahun ini. Semoga lawatan seperti ini dapat diteruskan pada tahun hadapan.