Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Saturday, December 31, 2016

CELIK MASYARAKAT : PENDIDIKAN ORANG ASLI



Masyarakat Dengkil merupakan masyarakat majmuk yang istimewa kerana di dalamnya terdapat sekelompok masyarakat Orang Asli. Di daerah Dengkil ini juga terdapat sebuah institusi pendidikan yang tersohor di Malaysia iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM). SK Bukit Tampoi (A) merupakan sebuah sekolah yang majoriti muridnya terdiri daripada masyarakat Orang Asli telah bekerjasama dengan UiTM untuk mendekatkan penuntutnya dengan masyarakat Orang Asli dalam program Celik Masyarakat.


Justeru itu, sebagai langkah pertama, UiTM di bawah Humanitarian Club telah menjemput Guru Besar SK Bukit Tampoi (A) untuk menyampaikan ucaptama pada 30 Disember 2016 (Jumaat) di Kampus UiTM Cawangan Dengkil bagi memberikan pendedahan awal kepada para penuntut tentang masyarakat Orang Asli secara terperinci. Turut hadir adalah Pn. Hjh. Norshiha Binti Saidin (Ketua Pusat Pengajian Asasi TESL), para pensyarah, GPK Pentadbiran, GPK Kokurikulum dan para penuntut UiTM.


Sejurus selepas program ini dirasmikan, UiTM akan mengadakan lawatan susulan oleh para penuntut bagi melihat dan mengenali dengan lebih dekat masyarakat Orang Asli yang belajar di SK Bukit Tampoi (A). Kemudian mereka akan datang secara berkala dalam kelompok kecil bagi membantu murid-murid Orang Asli ini menanam minat untuk belajar dan berjaya sehingga ke menara gading. Dengan adanya program seperti ini dapat membuka mata masyarakat agar dapat mengenali budaya masyarakat Orang Asli yang unik ini. 


Terima kasih diucapkan kepada Pusat Asasi UiTM Cawangan Dengkil kerana sudi berkolaborasi dengan SK Bukit Tampoi (A) dalam Program Celik Masyarakat ini. Harapan kami agar program ini berjaya dan dapat memberikan manfaat yang berguna kepada para penuntut UiTM dan murid-murid SK Bukit Tampoi (A) sendiri.

HARI ORIENTASI TAHUN 1 2017

Hari Orientasi Tahun 1 bagi Tahun 2017 telah dijalankan dengan jayanya pada 30 Disember 2016 (Jumaat) di kelas Tahun 1. Ramai ibu bapa yang hadir untuk menghantar anak-anak mereka menjejakkan kaki  ke SK Bukit Tampoi (A). Pendaftaran ibu bapa telah dibuka pada pukul 8.30 pagi dengan diikuti oleh pengisian borang-borang yang berkaitan dengan murid seperti Borang APDM, Borang KWAMP, Borang RMT, Buku Kesihatan, Kad Gigi dan Fail Peribadi Murid.

Pendaftaran

Buku Kesihatan dan RMT

Kad Gigi dan Fail Peribadi Murid

KWAMP


Pada pukul 10.30 pagi majlis perasmian telah diadakan. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh En. Azman Shah bin Mohd. Yunus (GPK Pentadbiran) yang menggantikan Tuan Guru Besar yang tidak dapat hadir. Beliau menerangkan berkaitan tentang kemudahan-kemudahan yang disediakan di sekolah, mata pelajaran yang diajar, aktiviti menarik yang dijalankan di sekolah dan  tanggungjawab ibu bapa.

 Pengacara Majlis

 Ucapan Perasmian oleh GPK Pentadbiran

 Kehadiran Murid Tahun 1

 Kehadiran Ibu Bapa

Sejurus selepas itu, majlis diteruskan pula dengan taklimat yang disampaikan oleh En. Mohd. Fadzli bin Mansor (GPK Kokurikulum) yang menggantikan GPK HEM yang tidak dapat hadir kerana cuti sakit. Beliau telah menerangkan berkaitan perjalanan Program Transisi, Skim Pinjaman Buku Teks, Kebajikan, Rancangan Makanan Tambahan dan kebersihan diri murid.

 Taklimat Kurikulum

Taklimat HEM dan Kokurikulum

Selesai majlis perasmian, para ibu bapa meneruskan pengisian borang yang masih belum selesai manakala bagi ibu bapa yang telah menyelesaikan urusan, mereka dibenarkan pulang bersama anak-anak masing-masing. Program ini telah tamat pada pukul 11.00 pagi.

Pengisian borang oleh para ibu bapa




Wednesday, December 28, 2016

PROGRAM ORIENTASI TAHUN 1 (2017)

Sukacita dimaklumkan bahawa SK Bukit Tampoi (A) akan menjalankan Program Orientasi Tahun 1 (2017) bagi pendaftaran murid Tahun 1 yang telah ditempatkan di sekolah ini. Program tersebut akan diadakan seperti ketetapan berikut : -

Program : Program Orientasi Tahun 1 (2017)
Tarikh : 30 Disember 2016 (Jumaat)
Masa : 8.00 pagi - 12.00 tengah hari
Tempat : Kelas Tahun 1, SK Bukit Tampoi (A)

Sehubungan itu, para ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak yang lahir pada tahun 2010 dijemput hadir untuk sesi pendaftaran tersebut. Sila bawa bersama dokumen-dokumen seperti kad pengenalan ibu bapa atau penjaga, surat beranak murid, surat kelulusan belajar dan disertakan dengan salinan dokumen-dokumen berkenaan. Murid Tahun 1 yang mendaftar perlu memakai pakaian seragam sekolah semasa proses pendaftaran.

Tuesday, November 29, 2016

PENYERAHAN DATA PLAN YES KEPADA GURU-GURU


Data Plan Yes 4G telah diberikan kepada semua guru di daerah Sepang di SJKC Dengkil yang dihadiri oleh wakil-wakil daripada YTL Communication Sdn. Bhd., JPN Selangor, PPD Sepang, pengetua dan guru besar serta guru data masing-masing. Setiap sekolah dibekalkan dengan satu unit telefon pintar (smart phone) berjenama Yes Altitute 4G mengikut bilangan guru sekolah masing-masing.


SK Bukit Tampoi (A) telah menerima sebanyak 17 unit telefon pintar untuk diagihkan kepada semua guru di sekolah. Selesai penyerahan di peringkat PPD Sepang, para pentadbir dan guru data telah membawa pulang gadjet tersebut ke sekolah untuk diserahkan kepada semua guru. Setibanya di sekolah suatu taklimat ringkas telah diberikan oleh guru besar. Selepas itu, taklimat pengaktifan telefon pintar telah disampaikan oleh guru data. Setelah semua gadjet diaktifkan, semua guru yang menerima gadjet tersebut perlu menandatangi Borang Akuan Penerimaan dan Borang Aku Janji sebelum semuanya bersurai.


Sekalung penghargaan diucapkan kepada Syarikat YTL Communication Sdn. Bhd., Kementerian Pendidikan Malaysia, JPN Selangor dan PPD Sepang kerana telah bertungkus-lumus memastikan penyerahan data plan ini berjalan dengan lancar. Dengan kemudahan yang diperoleh ini dapat membantu guru untuk memudahkan mereka mengakses portal VLE Frog dengan lebih mudah dan cepat. Data plan ini didatangkan dengan pakej 2 GB 4G LTE dan 2 GB data broadband. Semoga pemberian istimewa ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua guru yang terlibat.

















Monday, November 28, 2016

JASAMU DIKENANG PN. ROSETAH BINTI AREP@ARIFF


Tahniah diucapkan kepada Pn. Rosetah binti Arep @Ariff kerana telah berjaya dalam permohonan pertukaran tempat bertugas. Beliau telah ditempatkan semula di SK Salak kerana berhampiran dengan tempat tinggal beliau. Jasa beliau di SK Bukit Tampoi (A) amat banyak sehingga tidak terhitung. Hanya Tuhan sahaja yang layak untuk membalasnya. Terima kasih diucapkan di atas segala budi bakti selama yang telah dicurahkan demi kecemerlangan sekolah kami. Semoga beliau berbahagia di tempat baharu dengan semangat baharu.



Bersalaman dengan murid Prasekolah



Bersalaman dengan murid-murid




Murid yang bersedih atas pemergian guru tersayang



Menandatangani Buku Kehadiran Guru buat kali terakhir di 
SK Bukit Tampoi (A)