Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Thursday, October 6, 2016

KLINIK BADMINTON OLEH PERANGSANG SELANGOR 2016


Perangsang Selangor dengan kerjasama J World Badminton Development yang terletak di Bandar Utama telah menganjurkan Klinik Badminton untuk murid-murid Orang Asli. Mereka telah menjemput seramai 40 orang murid masing-masing 20 orang dari SK Bukit Tampoi (A) dan 20 orang dari SK Sungai Melut (A). Pihak penganjur telah bermurah hati untuk menyediakan sebuah bas untuk membawa murid-murid ke Dewan Komuniti di Bandar Utama dengan diiringi oleh 2 orang guru dari sekolah masing-masing.


SK Bukit Tampoi (A) telah menghantar 10 orang murid lelaki dan 10 orang murid perempuan bagi mengikuti klinik tersebut. Mereka telah diiringi oleh 2 orang guru iaitu En. Mohd. Fadzli (GPK Kokurikulum) dan Ust. Anwar (Guru Pendidikan Jasmani) untuk memastikan keselematan murid sepanjang latihan diadakan.


Murid-murid yang menyertai klinik ini telah diberikan t-shirt dan makanan oleh pihak penganjur. Mereka berasa sangat gembira kerana mendapat hadiah daripada pihak penganjur. Manakala pihak sekolah diberikan raket badminton dan bulu tangkis untuk kegunaan murid-murid di sekolah.


Di sana murid-murid dilatih cara memegang raket dengan betul, membuat servis dan memukul bulu tangkis dengan tepat. Selain daripada itu, mereka juga didedahkan kepada asas senaman bagi meregangkan badan sebelum permainan dimulakan. Mereka turut diberikan teknik pengawalan gelanggang yang teratur semasa bermain di dalam gelanggang.


Ribuan terima kasih diucapkan kepada Perangsang Selangor dan J World Badminton Development kerana sudi menjemput kami untuk menyertai klinik badminton ini. Terima kasih juga kami ucapkan  di atas jasa baik tuan memberi tunjuk ajar kepada anak murid kami di samping memberi inspirasi kepada murid-murid kami untuk memupuk minat dalam sukan badminton.

No comments:

Post a Comment