Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Tuesday, July 26, 2022

PEMANTAUAN PENGAWAL KESELAMATAN SEKOLAH TAHUN 2022

Pada 26 Julai 2022 (Selasa), SK Bukit Tampoi (A) telah dikunjungi oleh tiga orang pegawai daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor. Tujuan kedatangan mereka adalah untuk membuat pemantauan berkaitan pengoperasian pengawal keselamatan sekolah.

Hasil pemantauan pegawai-pegawai tersebut mendapati banyak ketidakakuran syarikat keselamatan terhadap kontrak perjanjian dan beberapa perkara yang tidak dikemaskini. Pihak sekolah turut ditegur kerana tidak melakukan pemantauan berkala terhadap syarikat dan pengawal keselamatan.

Oleh yang demikian, pihak sekolah dan syarikat keselamatan diberi masa untuk menjawab semua ketidakakuran tersebut dalam tempoh tujuh hari. Pihak sekolah akur akan arahan yang diberikan dan berusaha untuk memperbaiki pengurusan berkaitan pengawal keselamatan sekolah. Semoga kita sama-sama dapat memikul amanah yang diberikan dengan penuh amanah dan integriti. 

Wednesday, July 20, 2022

PROGRAM ZIARAH CAKNA KE KOA BUKIT DAMAR

 
Program Ziarah Cakna telah pergi ke KOA Bukit Damar pada 19 Jun 2022 (Selasa) untuk berjumpa dengan adik Rizzedyuszi yang telah lama tidak hadir ke sekolah. Guru Besar dan GPK Hal Ehwal Murid telah bersama-sama ke rumah murid tersebut untuk bertanya khabar serta mendapatkan maklumat ketidakhadiran murid tersebut.

KOA Bukit Damar terletak di Cyberjaya merupakan salah sebuah Kampung Orang Asli daripada tiga buah kampung. Hanya beberapa buah rumah sahaja yang terdapat di kampung tersebut dan terdapat lima orang murid sahaja yang tinggal di kampung ini bersekolah di SK Bukit Tampoi (A).

Pengangkutan utama murid ke sekolah adalah dengan menaiki bas yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli Selangor (JAKOA). Namun untuk menuju ke jalan utama atau tempat perhentian bas, murid-murid ini perlu menempuh perjalanan lebih kurang 2 kilometer. Ada yang berkereta, bermotosikal dan kadang kala berjalan kaki.

Begitulah kehidupan mereka untuk meneruskan pendidikan di SK Bukit Tampoi (A). Ini adalah usaha pihak sekolah untuk mendekatkan diri dengan komuniti Orang Asli terutamanya ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang bersekolah di sini. Guru-guru berusaha untuk menyakinkan ibu bapa akan kepentingan pendidikan buat masa depan anak dan keluarga mereka. Semoga mereka sentiasa diberi kekuatan untuk meneruskan sesi persekolahan sehingga tamat Tingkatan 5.

MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH PERTANDINGAN MINGGU ANTIDADAH 2022

 
Minggu Antidadah 2022 SK Bukit Tampoi (A) telah sampai ke penutupnya. Aktiviti penutup Minggu Antidadah ialah dengan mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah kepada para pemenang pertandingan yang telah dijalankan sepanjang Minggu Antidadah.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua murid yang telah berjaya mendapat hadiah masing-masing. Sekalung tahniah juga diucapkan kepada Unit Bimbingan dan Kaunseling kerana telah berjaya menganjurkan Minggu Antidadah dengan jayanya.

Semoga semua warga sekolah sentiasa cakna dengan bahaya penyalahgunaan dadah kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Jadikanlah diri lebih sihat dan sejahtera dengan menjauhi dadah durjana. Hayatilah nilai-nilai murni yang diterapkan dalam "Sekolahku SEJAHTERA" yang telah dilancarkan oleh KPM.

#jomstings

Friday, July 15, 2022

MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN DAN KEM KEPIMPINAN PEMIMPIN MUDA TAHUN 2022

Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan dan Kem Kepimpinan Pemimpin Muda Tahun 2022 telah diadakan pada 15 Julai 2022 (Jumaat). Majlis penyampaian watikah pelantikan telah diadakan di tapak perhimpunan dan dirasmikan oleh Koperal Hairul Nizam (Pegawai Perhubungan Sekolah) dari Balai Polis Dengkil. Turut hadir bersama adalah Koperal Rusydi Andalus juga pegawai PPS  dari tempat bertugas yang sama.

Sejurus selepas majlis perasmian, para pemimpin muda ini ditempatkan di bilik Sains untuk mengikuti Kem Kepimpinan Pemimpin Muda. Di dalam kem ini, para pemimpin muda diberikan ceramah kepimpinan oleh Pegawai PPS yang dijemput merasmikan majlis pelantikan.

Kemudian, para pemimpin muda dipecahkan kepada beberapa kumpulan mengikut kategori Pengawas Sekolah, Pengawas PSS, Pengawas SPBT untuk mendengar ceramah berkaitan tugas masing-masing di tempat yang telah ditetapkan. Semoga para pemimpin muda ini dapat menjalankan amanah yang diberikan dengan penuh keazaman dan iltizam sebagai role-model kepada murid-murid lain.

#jomstings

Pengawas SPBT

Ketua dan Penolong Kelas

Pengawas PSS

Pengawas Sekolah

Watikah Pelantikan
Bacaan Ikrar

Kem Kepimpinan Pemimpin Muda

LDK Pengawas Sekolah

LDK Pengawas PSS

LDK Pengawas SPBT

LDK Ketua & Penolong Kelas

Monday, July 4, 2022

SUMBANGAN SET HIDROPONIK JABATAN PERTANIAN SELANGOR 2022

Pada 30 Jun 2022 (Khamis), beberapa orang pegawai daripada Jabatan Pertanian Selangor telah datang ke SK Bukit Tampoi (A). Tujuan kedatangan mereka adalah untuk menyerahkan 1 set hidroponik kepada pihak sekolah. Set hidroponik yang berharga RM799 telah disumbangkan kepada SK Bukit Tampoi (A) daripada Jabatan Pertanian Selangor.

Set hidroponik yang mempunyai 21 lubang ini disertakan dengan sistem pam serta dikuasakan oleh tenaga solar. Oleh yang demikian, set ini menggunakan 100% tenaga hijau bagi menghasilkan tenaga elektrik untuk menghidupkan sistem pam yang disediakan. Dengan adanya set hidroponik ini dapatkan digunakan untuk mengajar subjek Reka Bentuk dan Teknologi dengan lebih menarik.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Pertanian Selangor kerana telah sudi memberi sumbangan yang besar kepada sekolah kami. Kami akan manfaatkan sebaik mungkin sumbangan yang diberikan kepada kami. Jasa baik tuan amat kami hargai dan sanjungi. Semoga set ini dapat meningkatkan dan menarik kehadiran murid ke sekolah.







LATIHAN PERSONEL : PERKONGSIAN AMALAN TERBAIK SK JALAN 4 BANGI


Latihan Personel merupakan satu program latihan bagi kakitangan awam untuk meningkatkan kemahiran dan kualiti perkhidmatan awam itu sendiri. Setiap penjawat awam dimestikan mengikuti latihan personel sekurang-kurangnya lima hari dalam setahun.

Justeru itu, pihak pengurusan SK Bukit Tampoi (A) telah menganjurkan latihan personel yang bertanjuk "Perkongsian Amalan Terbaik SK Jalan 4 Bangi" yang telah disampaikan oleh Pn. Hjh. Ainon binti Mohamed Salehudin. Beliau merupakan seorang Guru Besar yang sungguh hebat dan berkaliber. Latihan tersebut telah diadakan pada 30 Jun 2022 (Khamis) bertempat di Bilik Komputer SK Bukit Tampoi (A).

Pengkongsian ilmu bersama beliau banyak memberi impak kepada semua kakitangan SKBTA. Melalui amalan terbaik yang telah dilaksanakan sekolah beliau telah menerima banyak anugerah dan pengiktirafan dari pelbagai peringkat. Ia menjadi satu inspirasi kepada kami untuk menjadikan SK Bukit Tampoi (A) sehebat dan segah SK Jalan 4 Bangi.

Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan buat Pn. Hjh. Ainon di atas perkongsian ilmu dengan warga SK Bukit Tampoi (A). Kami memohon dihalalkan ilmu yang diberi, agar dapat kami manfaatkan untuk kesejahteraan sekolah kami pula. Inyaallah, jika ada masa dan kelapangan kami akan susuli dengan lawatan penandaarasan ke SK Jalan 4 Bangi untuk melihat dengan mempelajari selok-belok kejayaan sekolah tersebut. Semoga hasrat kami ini dapat ditunaikan.

#jomsting