Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Friday, July 26, 2024

PROJEK POTONG POKOK MATI SK BUKIT TAMPOI (A)

Projek Potong Pokok Mati telah dilaksanakan pada 25 Julai 2024 (Khamis) oleh kontraktor swasta. Hanya sebatang pokok mati sahaja yang ditebang kerana beberapa dahan pohon yang reput telah patah. Tindakan pantas En. Yusoh bin Alip dengan menghubungi Majlis Perbenadaran Sepang (MPS) telah berjaya mendapat respon yang positif dan tindakan yang pantas.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada En. Yusoh bin Alip selaku AJK PIBG SK Bukit Tampoi (A) khususnya dan PIBG SK Bukit Tampoi (A) amnya di atas tindakan segera yang diambil bagi menyelesaikan masalah berkaitan pokok mati yang membahayakan nyawa murid-murid di sekolah ini.

Tindakan yang proaktif ini perlu untuk menyelesaikan masalah yang berkait dengan keselamatan dan kebajikan murid-murid sekolah ini. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk program dan projek anuran PIBG SK Bukit Tampoi (A).

Friday, July 5, 2024

KARNIVAL PENDIDIKAN MURID ORANG ASLI DAN PERIBUMI 2024


Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi Peringkat Negeri Selangor tahun 2024 bawah Inisiatif #57: Transformasi Pendidikan Orang Asli dan Peribumi telah diadakan pada 4 Julai 2024 (Khamis) bertempat di SK Bukit Lanjan, Damansara Perdana. Sebanyak 11  buah sekolah murid Orang Asli di Selangor telah menyertai karnival tersebut.

SK Bukit Tampoi (A) telah menyertai beberapa acara yang dipertandingkan iaitu syair, nyanyian solo, nyanyian duet dan tarian tradisional yang melibatkan 12 orang murid. Oleh kerana tempat pertandingan berada dalam kawasan yang terkenal dengan kesesakan lalu-lintas. Pihak sekolah telah mengambil inisiatif untuk bermalam di rumah penginapan yang disewa agar para peserta tidak lewat untuk hadir ke tempat pertandingan.

Walaupun penyertaan pada tahun ini hanya saguhati, namun pencapaian pada tahun ini adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya. Semoga penyertaan pada tahun hadapan lebih baik daripada tahun ini. Terima kasih kepada semua jurulatih yang terdiri daripada guru-guru yang bertungkus-lumus untuk menyediakan segala persiapan yang diperlukan untuk ke karnival pada tahun ini. Teruskan usaha kalian agar membuahkan hasil pada tahun akan datang.

Terima kasih kepada Unit Sekolah Jenis Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor di atas penganjuran karnival ini kerana memberi peluang kepada murid-murid khususnya murid Orang Asli untuk menyertai aktiviti ko-akademik seperti murid di aliran perdana. Tahniah dan terima kasih juga diucapkan kepada SK Bukit Lanjan yang menjadi tuan rumah kepada karnival pada tahun ini.

SINCERELY, SETIA SPECIAL CELEBRATION : WORLD ENVIRONMENT DAY 2024


Sincerely, Setia Special Celebration : World Environment Day
2024 telah diadakan pada 4 Julai 2024 (Khamis) bertempat di Club 360, Setia Ecohill, Semenyih, Selangor yang dianjurkan oleh SP Setia Foundation. Seramai 15 orang murid dan 2 orang guru pengiring telah dijemput untuk menyertai program tersebut. Selain daripada SK Bukit Tampoi (A), terdapat juga sekolah angkat di bawah SP Setia Foundation iaitu SK Semenyih, SJK(C) Kampung Baru Semenyih dan SJK(T) Ladang Rinching.

Pelbagai aktiviti yang menarik telah disertai oleh semua murid seperti ice breaking, South Creek@Setia Ecohill dan latihan dalam kumpulan. Murid-murid sangat teruja dengan aktiviti-aktiviti yang disediakan oleh penganjur. Selain daripada itu, mereka dapat berkenalan di antara murid-murid dari sekolah-sekolah angkat SP Setia Foundation.

Terima kasih kepada SP Setia Foundation kerana sudi menjemput SK Bukit Tampoi (A) untuk menyertai program yang sangat bermakna buat anak-anak murid kami. Mereka sangat gembira kerana dapat pergi ke Club 360, Ecohill Semenyih yang sangat indah dan luar biasa. Semoga dengan penyertaan murid-murid sekolah ini dapat menimba pengalaman yang sangat bermakna dalam kehidupan mereka.