Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Monday, May 9, 2022

PERHIMPUNAN RASMI FASA ENDEMIK COVID-19

Bermula 1 Mei 2022, negara Malaysia telah hampir memasuki fasa endemik. Justeru itu, kerajaan Malaysia telah mengeluarkan SOP baharu berkaitan pencegahan Covid-19. Demikian pula dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah mengeluarkan SOP yang baharu berkaitan pengoperasian sekolah.

Menurut SOP baharu KPM, semua sekolah sudah boleh kembali kepada keadaan normal sebelum pandemik melanda negara. Justeru itu, pihak sekolah telah mengadakan perhimpunan rasmi yang pertama selepas hampir dua tahun tidak dapat mengadakan perhimpunan rasmi di sekolah.

Perhimpunan pertama yang diadakan agak kelam-kabut kerana banyak perkara yang sudah dilupakan dan memerlukan pembugaran semula. Walau bagaimanapun, kita bersyukur kerana sekurang-kurangnya perhimpunan kali ini dapat dilaksanakan semula. Amalkan SOP untuk jauhi penyakit Covid-19 agar kita semua dapat kembali kepada kehidupan yang normal semula. Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Selamat Kembali Ke Sekolah.

PROSEDUR OPERASI STANDARD (SOP) PENGOPERASIAN SEKOLAH 1 MEI 2022

Sesi persekolahan telah dibuka semula selepas seminggu cuti Hari Raya Aidilfitri. Sempena dengan pengoperasian semula sekolah, bermula pada 1 Mei 2022 yang lalu, kerajaan telah mewartakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengoperasian Sekolah yang baharu. Berikut adalah ringkasan SOP tersebut.

Friday, April 29, 2022

MAJLIS KHATAM AL-QURAN & PENUTUPAN PROGRAM IHYA RAMADAN TAHUN 2022

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana limpah kurniaNya, kita sudah sampai ke penghujung bulan Ramadan. Program Ihya Ramadan telah berlangsung selama hampir sebulan telah ditamatkan pada hari ini. Aktiviti terakhir yang diadakan adalah Majlis Khatam Al-Quran yang disertai oleh semua murid beragama Islam dan para pentadbir serta guru Pendidikan Islam dan beberapa orang guru lain. 

Aktiviti di dalam majlis tersebut dimulai dengan bacaan Surah Ad-Duha hingga Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan doa khatam al-quran. Seterusnya, acara diteruskan dengan bacaan tazkirah oleh adik Razali (Tahun 5). Kemudian majlis diteruskan dengan ucapan perasmian penutupan Program Ihya Ramadan yang dirasmikan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor (Guru Besar) SK Bukit Tampoi (A).

Seterusnya, majlis diteruskan dengan acara penyampaian hadiah bagi aktiviti dan pertandingan yang diadakan sepanjang program ini dijalankan. Acara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Guru Besar SKBTA dengan diiringi oleh GPK Pentadbiran. Dengan ini, selesailah sudah Program Ihya Ramadan bagi tahun 2022. Semoga segala aktiviti di dalam program ini dapat memberikan impak yang positif kepada semua murid yang beragama Islam di sekolah ini.

Thursday, April 28, 2022

SUMBANGAN RAMADAN TAHUN 2022

Sumbangan Ramadan merupakan sebahagian daripada Program Ihya Ramadan yang telah dilancarkan sejak awal Ramadan lagi. En. Mohd Fadzli bin Mansor selaku Guru Besar SK Bukit Tampoi (A) telah berbesar hati untuk menyampaikan sumbangan tersebut.

Seramai 33 orang murid Orang Asli yang beragama Islam telah menerima sumbangan tersebut. Sumbangan berupa beras, bihun, kicap, susu, gula, minyak masak dan beberapa barangan keperluan harian telah berjaya dikumpul.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyumbang yang sudi menghulurkan sumbangan kepada anak-anak Orang Asli di sekolah ini. Semoga sumbangan yang diberikan akan menambah rezeki kalian.