Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Thursday, May 19, 2022

PEMBUGARAN GOGORAMA SK BUKIT TAMPOI (A) 2022

 
Program Gogorama merupakan program intervensi untuk meningkatkan kehadiran murid ke sekolah. Apabila pandemik Covid-19 melanda negara, program ini terpaksa ditangguhkan kerana mematuhi prosedur operasi standard yang dikeluarkan oleh KPM dan MKN.

Mulai 1 Mei 2022, KPM dan MKN telah meringankan SOP yang sedia ada dengan membolehkan aktiviti bersemuka boleh dijalankan. Oleh yang demikian, Unit Kokurikulum telah memperkenalkan semula Program Gogorama dengan membuat pembugaran semula.

Program ini telah dirasmikan semula oleh Pn. Noresah binti Sapari (GPK Pentadbiran) dengan diiringi oleh GPK Kokurikulum dan semua guru dan murid. Pihak sekolah telah menjemput jurulatih luar untuk memperkenalkan semula program tersebut dengan melakukan aktiviti senamrobik bersama semua warga sekolah.

Diharapkan agar dengan pembugaran semula Program Gogorama dapat meningkatkan semula kehadiran murid ke sekolah seperti sebelum kedatangan Covid-19. Di samping itu, murid-murid dapat beriadah dan melakukan aktiviti senamrobik bersama rakan-rakan yang telah lama tidak bersua. 

Wednesday, May 18, 2022

WARNA-WARNI HARI GURU 2022

 

HARI GURU 2022

 

Tanggal 16 Mei 2022 merupakan tarikh keramat bagi semua guru di Malaysia kerana pada hari tersebut merupakan Hari Guru. Memandangkan pada tarikh tersebut adalah cuti ganti bagi Hari Wesak maka SK Bukit Tampoi (A) telah mengadakannya pada 17 Mei 2022 (Selasa).

Sambutan Hari Guru dimulakan dengan nyanyian 3 buah lagu rasmi diikuti dengan ucapan wakil murid dan ucapan Guru Besar. Kemudian lafaz ikrar Hari Guru telah diketuai oleh Cikgu Yazie dengan diikuti oleh semua guru yang lain. Tema Hari Guru pada tahun ini adalah "Guru Tunjang Keluarga Sejahtera".

Ini merupakan sambutan Hari Guru yang sungguh bermakna kerana berjaya diadakan selepas pandemik Covid-19 melanda negara. Begitu juga, murid-murid terutamanya murid-murid Tahun 1 dan Prasekolah kerana pertama kali menyambut Hari Guru bersama-sama guru masing-masing secara langsung. Selamat Hari Guru kepada semua guru SK Bukit Tampoi (A). Semoga kerjaya sebagai guru ini dapat diteruskan dengan penuh motivasi dan iltizam yang tinggi.

Monday, May 9, 2022

PERHIMPUNAN RASMI FASA ENDEMIK COVID-19

Bermula 1 Mei 2022, negara Malaysia telah hampir memasuki fasa endemik. Justeru itu, kerajaan Malaysia telah mengeluarkan SOP baharu berkaitan pencegahan Covid-19. Demikian pula dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah mengeluarkan SOP yang baharu berkaitan pengoperasian sekolah.

Menurut SOP baharu KPM, semua sekolah sudah boleh kembali kepada keadaan normal sebelum pandemik melanda negara. Justeru itu, pihak sekolah telah mengadakan perhimpunan rasmi yang pertama selepas hampir dua tahun tidak dapat mengadakan perhimpunan rasmi di sekolah.

Perhimpunan pertama yang diadakan agak kelam-kabut kerana banyak perkara yang sudah dilupakan dan memerlukan pembugaran semula. Walau bagaimanapun, kita bersyukur kerana sekurang-kurangnya perhimpunan kali ini dapat dilaksanakan semula. Amalkan SOP untuk jauhi penyakit Covid-19 agar kita semua dapat kembali kepada kehidupan yang normal semula. Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Selamat Kembali Ke Sekolah.

PROSEDUR OPERASI STANDARD (SOP) PENGOPERASIAN SEKOLAH 1 MEI 2022

Sesi persekolahan telah dibuka semula selepas seminggu cuti Hari Raya Aidilfitri. Sempena dengan pengoperasian semula sekolah, bermula pada 1 Mei 2022 yang lalu, kerajaan telah mewartakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengoperasian Sekolah yang baharu. Berikut adalah ringkasan SOP tersebut.