Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Thursday, April 18, 2019

MINGGU PROGRAM PENCEGAHAN DADAH (PPDa) 2019


Unit Bimbingan & Kaunseling telah menganjurkan Minggu PPDa yang diadakan dari 15 hingga 16 April 2019. Antara pengisian Minggu PPDa adalah ceramah, pameran, peraduan mewarna dan melukis kain rentang. Majlis perasmian telah diadakan pada 15 April 2019 (Isnin) yang dirasmikan oleh En. Mohd. Fadzli bin Mansor (GPK HEM).

Ceramah PPDa telah diadakan pada 15 April 2019 (Isnin) yang telah disampaikan oleh dua orang pegawai dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) cawangan daerah Sepang. Mereka adalah En. Samat dan En. Bobby yang telah menyampaikan ceramah berkaitan jenis-jenis dadah, kesan negatif pengambilan dadah dan video berkaitan penyalahgunaan dadah.

Pada 16 April 2019 (Selasa) telah diadakan peraduan mewarna bagi semua murid dengan tema "Komuniti Kita, Tanggungjawab Kita". Peraduan ini dijalankan selepas waktu rehat di ddalam kelas masing-masing.









PROGRAM KESIHATAN UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA 2019


Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan Program Kesihatan untuk semua murid SK Bukit Tampoi (A) berkaitan dengan penyakit cacing. Program ini merangkumi dua aktiviti iaitu Ceramah Kesihatan dan Pemeriksaan Kesihatan.

Program ini ketuai oleh Prof. Dr Kamel dari Fakulti Sains Kesihatan bersama-sama 1 orang pegawai dan 5 orang penuntut sarjana. Dengan kerjasama Unit Kesihatan, ceramah kesihatan telah dijalankan pada pukul 9.00 hingga 10.00 pagi yang telah disampaikan oleh penuntut-penuntut sarjana terbabit diadakan di Makmal Sains.

Sejurus selepas ceramah, murid-murid dibekalkan dengan botol kosong untuk mengisi sampel najis murid yang perlu dipulangkan untuk dianalisa di makmal UKM. Keputusan daripada hasil analisa akan dimaklumkan kemudian oleh UKM kepada pihak sekolah.

Program ini berlangsung dari 15 hingga 18 April 2019 bagi memberi peluang kepada murid-murid untuk memulangkan bekas bersama sampel yang diperlukan oleh pihak UKM. Kami berharap dengan adanya pemeriksaan seperti ini dapat membantu pihak sekolah mengenal pasti murid yang mempunyai masalah berkaitan penyakit cacing. 

Murid-murid yang positif penyakit cacing perlu pergi ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan dan ubatan yang sesuai. Semoga penyakit cacing ini dapat dicegah dan dihapuskan di samping murid-murid boleh mendapat didikan dan mengamalkan gaya hidup yang sihat di rumah.














Tuesday, April 16, 2019

PROGRAM ISRAK & MIKRAJ 2019


Program Israk & Mikraj telah diadakan pada 12 April 2019 (Jumaat) di Bilik Pendidikan Islam. Semua murid yang beragama Islam telah berkumpul di bilik tersebut untuk majlis perasmian yang dirasmikan oleh Pn. Siti Saadah binti Mukrim (Guru Besar).

Program yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam ini telah menjalankan pertandingan mewarna bagi murid-murid di Bilik Pendidikan Islam (Tahap 1) dan Bilik PSS (Tahap 2). Sejurus selepas itu, murid-murid dikumpulkan semula ke Bilik Pendidikan Islam untuk menyaksikan tayangan video berkaitan peristiwa Israk & Mikraj.

Walaupun bilangan murid-murid Islam tidak ramai, namun sebagai umat Islam kita tetap menganjurkan program ini bagi memberi pendidikan tentang peristiwa penting bagi umat Islam berkaitan kewajipan umat Islam menunaikan solat 5 waktu. Semoga program ini memberi peringatan kepada murid-murid Islam dari kaum Orang Asli untuk lebih mendekatkan kepada Islam.









LAWATAN PENANDA ARAS KE SK SEKSYEN 2 BANDAR KINRARA 2019


Lawatan Penanda Aras ke SK Seksyen 2 Bandar Kinrara telah diadakan pada 13 April 2019 (Sabtu) oleh semua guru dan staf sokongan bagi melihat dan mempelajari kaedah meningkatkan keberkesanan bilik-bilik khas. Antara bilik-bilik khas yang dikunjungi adalah seperti Bilik Komputer, Bilik Pusat Sumber Sekolah, Bilik j-QAF, Surau dan Bilik BOSS.

Seramai 4 orang pentadbir, 9 orang guru dan 1 orang staf sokongan yang mengikuti lawatan tersebut. Kami diiringi oleh En. Roduan Bin Pin (GPK HEM) dan beberapa orang guru bilik khas. Bilik khas yang pertama dilawati adalah Bilik Komputer. Di sana satu majlis penerangan tentang sekolah telah dibuat menerusi tayangan video.

Kemudian kami dibawa ke Bilik Pusat Sumber Sekolah yang terletak di Tingkat 3 Blok B. Bilik PSS telah diubahsuai dari segi reka bentuk dan susun atur sehingga menampakkan keluasan bilik dengan menggunakan meja berkaki pendek untuk murid. Selain daripada itu, Guru Media bilik tersebut telah menempatkan beberapa sudut istimewa seperti sudut pidato, galeri pakaian tradisional dan satu set sofa untuk kegunaan guru dan pelawat.

Sejurus selepas itu, kami dibawa berkunjung ke Bilik j-QAF yang terletak di aras yang yang sama Blok A. Bilik ini adalah bilik yang telah diubahsuai dari Bilik Komputer kepada Bilik j-QAF. Bilik digunakan untuk mengajar Bahasa Arab dan Pendidikan Islam. Selain daripada itu, bilik ini juga digunakan untuk menjalankan aktiviti seperti Kem Bestasi Solat dan Kem Cemerlangan Jawi. Bilik ini telah dilengkapi dengan bahan bantu mengajar yang maujud seperti peralatan bilik mandi, peti sejuk dan beberapa peralatan lain dengan label Bahasa Arab. Satu inovasi yang terbaharu bagi bilik ini adalah ruang kaki limanya telah dimanfaatkan menjadi sudut bacaan.

Seterusnya, kami dibawa melawat Surau yang terletak di tingkat bawah Blok A. Surau sekolah ini telah memasuki pertandingan surau peringkat PPD Petaling Perdana dan telah memenangi beberapa anugerah. Keistimewaan surau ini adalah ia mempunyai sebuah mimbar yang dibuat sendiri dan sudut pidato mereka sendiri. Di luar surau diletakkan dengan sebuah air terjun tiruan dan yang terbaharu ialah taman mini yang terletak di tepi bangunan tersebut.

Pada akhir lawatan kami dibawa pula ke Bilik BOSS. Bilik ini juga dikenali dengan Bilik SPBT yang merupakan tempat pengurusan dan simpanan segala buku teks yang digunakan oleh murid-murid di sekolah itu. Bilik ini juga telah memenangi banyak anugerah di peringkat daerah, negeri malah kebangsaan. Keistimewaan bilik ini adalah ia mempunyai sudut artifeks sejarah dan Laman SPBT. Laman SPBT ini sungguh istimewa kerana ia mempunyai hamparan dam ular dan sudut fotografi yang juga turut dilengkapi dengan pondok dan peti khas bahan bacaan.

Kami berasa sungguh kagum dengan sekolah ini kerana berjaya menceriakan suasana sekolah sekaligus dapat menarik minat murid untuk datang ke sekolah. Banyak pengalaman dan idea yang boleh dijana daripada lawatan penanda aras pada kali ini. Dengan bantuan dan sokongan daripada jalinan dan jaringan daripada semua pihak, kami percaya dan yakin bahawa SK Bukit Tampoi (A) juga boleh menjadi tempat yang ceria untuk keselesaan murid-murid sekalian. Ribuan terima kasih kami ucapkan kepada semua warga SK Seksyen 2 Bandar Kinrara kerana sudi menerima kedatangan kami dengan tangan terbuka.