Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Tuesday, April 16, 2019

LAWATAN PENANDA ARAS KE SK SEKSYEN 2 BANDAR KINRARA 2019


Lawatan Penanda Aras ke SK Seksyen 2 Bandar Kinrara telah diadakan pada 13 April 2019 (Sabtu) oleh semua guru dan staf sokongan bagi melihat dan mempelajari kaedah meningkatkan keberkesanan bilik-bilik khas. Antara bilik-bilik khas yang dikunjungi adalah seperti Bilik Komputer, Bilik Pusat Sumber Sekolah, Bilik j-QAF, Surau dan Bilik BOSS.

Seramai 4 orang pentadbir, 9 orang guru dan 1 orang staf sokongan yang mengikuti lawatan tersebut. Kami diiringi oleh En. Roduan Bin Pin (GPK HEM) dan beberapa orang guru bilik khas. Bilik khas yang pertama dilawati adalah Bilik Komputer. Di sana satu majlis penerangan tentang sekolah telah dibuat menerusi tayangan video.

Kemudian kami dibawa ke Bilik Pusat Sumber Sekolah yang terletak di Tingkat 3 Blok B. Bilik PSS telah diubahsuai dari segi reka bentuk dan susun atur sehingga menampakkan keluasan bilik dengan menggunakan meja berkaki pendek untuk murid. Selain daripada itu, Guru Media bilik tersebut telah menempatkan beberapa sudut istimewa seperti sudut pidato, galeri pakaian tradisional dan satu set sofa untuk kegunaan guru dan pelawat.

Sejurus selepas itu, kami dibawa berkunjung ke Bilik j-QAF yang terletak di aras yang yang sama Blok A. Bilik ini adalah bilik yang telah diubahsuai dari Bilik Komputer kepada Bilik j-QAF. Bilik digunakan untuk mengajar Bahasa Arab dan Pendidikan Islam. Selain daripada itu, bilik ini juga digunakan untuk menjalankan aktiviti seperti Kem Bestasi Solat dan Kem Cemerlangan Jawi. Bilik ini telah dilengkapi dengan bahan bantu mengajar yang maujud seperti peralatan bilik mandi, peti sejuk dan beberapa peralatan lain dengan label Bahasa Arab. Satu inovasi yang terbaharu bagi bilik ini adalah ruang kaki limanya telah dimanfaatkan menjadi sudut bacaan.

Seterusnya, kami dibawa melawat Surau yang terletak di tingkat bawah Blok A. Surau sekolah ini telah memasuki pertandingan surau peringkat PPD Petaling Perdana dan telah memenangi beberapa anugerah. Keistimewaan surau ini adalah ia mempunyai sebuah mimbar yang dibuat sendiri dan sudut pidato mereka sendiri. Di luar surau diletakkan dengan sebuah air terjun tiruan dan yang terbaharu ialah taman mini yang terletak di tepi bangunan tersebut.

Pada akhir lawatan kami dibawa pula ke Bilik BOSS. Bilik ini juga dikenali dengan Bilik SPBT yang merupakan tempat pengurusan dan simpanan segala buku teks yang digunakan oleh murid-murid di sekolah itu. Bilik ini juga telah memenangi banyak anugerah di peringkat daerah, negeri malah kebangsaan. Keistimewaan bilik ini adalah ia mempunyai sudut artifeks sejarah dan Laman SPBT. Laman SPBT ini sungguh istimewa kerana ia mempunyai hamparan dam ular dan sudut fotografi yang juga turut dilengkapi dengan pondok dan peti khas bahan bacaan.

Kami berasa sungguh kagum dengan sekolah ini kerana berjaya menceriakan suasana sekolah sekaligus dapat menarik minat murid untuk datang ke sekolah. Banyak pengalaman dan idea yang boleh dijana daripada lawatan penanda aras pada kali ini. Dengan bantuan dan sokongan daripada jalinan dan jaringan daripada semua pihak, kami percaya dan yakin bahawa SK Bukit Tampoi (A) juga boleh menjadi tempat yang ceria untuk keselesaan murid-murid sekalian. Ribuan terima kasih kami ucapkan kepada semua warga SK Seksyen 2 Bandar Kinrara kerana sudi menerima kedatangan kami dengan tangan terbuka.

















No comments:

Post a Comment