Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Monday, June 24, 2019

JEMPUTAN MY SINGGAH RAYA IRM 2019


Program My Singgah Raya adalah satu majlis rumah terbuka yang dianjurkan oleh Islamic Relief Malaysia. Ia diadakan di pejabat IRM yang terletak di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi. Program ini telah diadakan pada 22 Jun 2019 (Sabtu) bermula pada pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Semua tetamu yang terlibat secara langsung dengan projek yang dijalankan oleh IRM dijemput hadir. Mereka terdiri daripada para penyumbang dana dan penerima manfaat daripada projek yang telah dijalankan. SK Bukit Tampoi (A) adalah penerima manfaat tersebut melalui projek untuk murid sekolah dan projek tanaman cendawan.

Seramai 28 orang murid, 3 orang guru dan 4 orang peserta tanaman cendawan telah dijemput hadir menggunakan bas sekolah yang disewa oleh IRM. Di sana kami diraikan dengan hidangan hari raya di samping hiburan daripada pengacara majlis dan persembahan nyanyian.

Pada akhir program, murid-murid dan peserta projek tanaman cendawan telah menerima buah tangan dan duit raya. Terima kasih diucapkan kepada IRM kerana telah menjemput kami menghadiri majlis rumah terbuka My Singgah Raya 2019.























Thursday, June 20, 2019

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2019


Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri SK Bukit Tampoi (A) telah diadakan pada 19 Jun 2019 (Rabu). Majlis yang dianjurkan oleh Unit Kokurikulum ini telah berlangsung dengan sungguh meriah dengan kehadiran para jemputan yang hadir. 

Pihak sekolah telah menjemput beberapa orang guru yang pernah mengajar di sekolah ini dan Ahli Jawatankuasa PIBG SK Bukit Tampoi (A). Turut hadir adalah Tok Batin dari KOA Bukit Tampoi dan KOA Kolam Air Bangkong serta beberapa orang guru besar sekolah berdekatan.

Majlis telah dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian dan tarian daripada murid-murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6. Guru-guru juga turut mendendangkan beberapa buah lagu raya. Selain daripada itu, En. Mohd. Fadzli mengadakan kuiz spontan kepada murid-murid dengan hadiah duit raya.

Terima kasih kepada para tetamu yang hadir, AJK PIBG, semua pentadbir, guru-guru dan murid-murid yang telah bertungkus-lumus menjadikan majlis ini begitu meriah dan menyeronokkan. Semoga dengan adanya majlis seperti ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim di antara kita semua.





















Thursday, June 13, 2019

MAJLIS PENYERAHAN PROJEK CSR MEINHARDT EPCM SDN. BHD.


Meinhardt EPCM Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat korporat antarabangsa yang menjalankan urusan kejuruteraan, perancangan dan pengurusan telah hadir ke SK Bukit Tampoi (A) untuk melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Seramai 32 orang sukarelawan daripada syarikat tersebut telah hadir untuk melaksanakan beberapa aktiviti di sekolah ini. Di antara aktiviti yang dijalankan adalah ceramah dan motivasi kepada murid-murid, mengecat dinding dan mural,bergotong-royong dan Majlis Penyerahan Projek CSR Meinhardt Sdn. Bhd.

Pada Majlis Penyerahan Projek CSR Meinhardt, Mr. Vinesh Kumar Natali (General Manager) telah sudi untuk merasmikan majlis tersebut. Kita berasa amat bertuah kerana beliau dapat bersama-sama di dalam program ini.

Terdahulu pihak syarikat telah melakukan pengubahsuaian tandas sekolah yang melibatkan 2 buah tandas guru dan 2 buah tandas murid. Kerja-kerja pengubahsuaian telah dijalankan semasa cuti pertengahan tahun yang lalu.

Terima kasih diucapkan kepada Syarikat Meinhardt EPCM Sdn. Bhd. kerana telah sudi hadir melaksanakan Program CSR di sekolah kami. Segala sumbangan dan bantuan tuan kami dahului dengan ucapan ribuah terima kasih.

Ceramah
Penyampaian Hadiah
Motivasi
Penyampaian Sijil Penghargaan
Majlis Penyerahan Projek CSR Meinhardt
Cat Mural
Cat Dinding
Projek Ubahsuai Tandas
Gotong-Royong
Jamuan Makanan & Minuman