Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Sunday, November 19, 2017

KEJOHANAN SUKAN SEKOLAH-SEKOLAH ORANG ASLI PERINGKAT KEBANGSAAN 2017


Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Orang Asli Kali Ke-10 Peringkat Kebangsaan 2017  telah berlangsung di negeri Kelantan Darul Naim. Kejohanan ini telah berlangsung selama seminggu dari 13 Novemver 2017 hingga 17 November 2017. Acara yang dipertandingkan adalah acara balapan dan padang serta permainan berpasukan seperti bola sepak, bola baling dan sepak takraw. 


SK Bukit Tampoi (A) telah menghantar seramai 8 orang atlet yang terdiri daripada atlet olahraga dan sepak takraw yang mewakili negeri Selangor ke kejohanan peringkat kebangsaan tersebut. Kejohanan pada tahun ini merupakan kenangan yang paling manis kerana wakil sekolah telah berjaya memenangi 1 pingat emas. Beliau ialah adik Laila Nurzaidah yang menyertai acara lontar peluru (perempuan).  Ini merupakan pingat emas tunggal bagi negeri Selangor.


Secara keseluruhannya kontinjen negeri Selangor telah berjaya memperoleh 1 emas, 1 perak dan 1 gangsa. Pingat emas dimenangi dalam acara lontar peluru (perempuan), perak dimenangi dalam acara bola baling (perempuan) dan gangsa dimenangi dalam acara bola sepak. Tahniah diucapkan kepada kontinjen negeri Selangor kerana telah berjaya menyertai kejohanan kali ini dengan baik. 







Friday, November 10, 2017

PROGRAM PEMBUGARAN VLE FROG


Program Pembugaran VLE Frog telah dilaksanakan di SK Bukit Tampoi (A) yang bertempat di Makmal Komputer. Program ini telah dihadiri oleh Guru Besar, GPK 1, Penyelaras Bestari, Juruteknik ICT dan ibu bapa murid Tahun 6. Turut hadir ialah En. Muhammad Hasif bin Marzuki (Pegawai Eksekutif) dari Syarikat UniCLIQ Sdn. Bhd. sebagai penceramah undangan.


Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan lanjut kepada ibu bapa tentang penggunaan ID YES kepada ibu bapa bagi memantau penggunaan portal VLE oleh anak masing-masing. Program yang diadakan di makmal komputer ini memboleh para ibu bapa mengakses akaun masing-masing dengan bantuan penceramah dan kakitangan sekolah.


Program ini berjaya membuka mata ibu bapa akan kepentingan penggunaan ICT dalam proses pengajaran, pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc). Selain daripada itu, program ini merupakan pendekatan sekolah dalam memberi tunjuk ajar kepada ibu bapa dalam membantu anak-anak mereka meningkatkan penggunaan portal VLE Frog dalam kalangan murid.


TAKLIMAT KEMASUKAN KE TINGKATAN 1 TAHUN 2018


Taklimat Kemasukan ke Tingkatan 1 bagi tahun 2018 telah diadakan di kelas Tahun 6 Siantan, SK Bukit Tampoi (A). Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Pn. Fariza binti Mohd Isa (Kaunselor) dari SMK Dengkil. Turut hadir pada taklimat tersebut adalah En. Mohd. Fadzli bin Mansor (GPK HEM) dan Pn. Hjh. Zuraini bt. Mohd. Sauti (Guru Kelas 6 Siantan).


Beliau memaklumkan bahawa murid-murid Tahun 6 dari SK Bukit Tampoi (A) perlu membuat pengesahan penempatan ke SMK Dengkil mulai 10 hingga 17 November 2017. Pengesahan penempatan boleh dibuat dengan hadir ke pejabat SMK Dengkil pada waktu pejabat dengan membawa Surat Penempatan Ke Sekolah Menengah dan Borang Pengesahan Kehadiran beserta salinan dokumen-dokumen lain. Salinan dokumen lain boleh dirujuk di dalam surat penempatan.


Pendaftaran murid ke Tingkatan 1 pula akan diadakan 29 Disember 2017 (Jumaat), di Dewan SMK Dengkil dari pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Semasa pendaftaran, murid perlu membawa Buku Maklumat Murid yang telah siap untuk diserahkan kepada guru kelas masing-masing. Para ibu bapa yang hadir akan diberikan taklimat di dewan manakala para pelajar akan dibawa melawat sekolah dan kelas masing-masing. Buku teks Tingkatan 1 akan diberikan pada hari tersebut oleh guru kelas.


Selain daripada itu, Pn. Fariza mengingatkan pelajar-pelajar untuk membeli barang keperluan persekolahan sebelum hari pendaftaran bagi mengelakkan kesesakan di kaunter koperasi sekolah pada hari berkenaan. Koperasi sekolah akan dibuka dari 18 hingga 22 Disember 2017 dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Senarai barang keperluan telah dilampirkan bersama Borang Pengesahan Kehadiran.

Thursday, November 9, 2017

JAMUAN PERPISAHAN MURID TAHUN 6





PROGRAM KHIDMAT BANTU ICT 2017




Program Khidmat Bantu ICT telah dijalankan di SK Bukit Tampoi (A) oleh seramai 7 orang yang terdiri daripada Pegawai Unit ICT PPD dan Juruteknik PPD Sepang. Mereka telah datang dari 6 hingga 8 November 2017 untuk membantu pihak sekolah khususnya Unit ICT dalam membaik pulih komputer dan menaiktaraf sistem talian (networking system) di dalam makmal komputer, pejabat dan Bilik Akses.



Khidmat bantu ini diperlukan bagi menyediakan infrastruktur makmal komputer, pejabat dan Bilik Akses yang lebih teratur dan tersusun. Ini bagi membolehkan pihak sekolah menerima 7 set komputer sebagai penukaran komputer yang telah usang terutama di dalam Bilik Akses. Penukaran set-set komputer tersebut telah disumbangkan oleh Felda Global Venture Sdn. Bhd. melalui PKG Salak.



Ribuan terima kasih diucapkan kepada para penyumbang dan kepada kakitangan yang telah datang membantu menaiktaraf sistem rangkaian internet di sekolah ini. Jasa dan bakti tuan tidak dapat kami balas. Semoga bantuan yang ikhlas ini akan diberkati.