Taklimat Kemasukan ke Tingkatan 1 bagi tahun 2018 telah diadakan di kelas Tahun 6 Siantan, SK Bukit Tampoi (A). Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Pn. Fariza binti Mohd Isa (Kaunselor) dari SMK Dengkil. Turut hadir pada taklimat tersebut adalah En. Mohd. Fadzli bin Mansor (GPK HEM) dan Pn. Hjh. Zuraini bt. Mohd. Sauti (Guru Kelas 6 Siantan).
Beliau memaklumkan bahawa murid-murid Tahun 6 dari SK Bukit Tampoi (A) perlu membuat pengesahan penempatan ke SMK Dengkil mulai 10 hingga 17 November 2017. Pengesahan penempatan boleh dibuat dengan hadir ke pejabat SMK Dengkil pada waktu pejabat dengan membawa Surat Penempatan Ke Sekolah Menengah dan Borang Pengesahan Kehadiran beserta salinan dokumen-dokumen lain. Salinan dokumen lain boleh dirujuk di dalam surat penempatan.
Pendaftaran murid ke Tingkatan 1 pula akan diadakan 29 Disember 2017 (Jumaat), di Dewan SMK Dengkil dari pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Semasa pendaftaran, murid perlu membawa Buku Maklumat Murid yang telah siap untuk diserahkan kepada guru kelas masing-masing. Para ibu bapa yang hadir akan diberikan taklimat di dewan manakala para pelajar akan dibawa melawat sekolah dan kelas masing-masing. Buku teks Tingkatan 1 akan diberikan pada hari tersebut oleh guru kelas.
Selain daripada itu, Pn. Fariza mengingatkan pelajar-pelajar untuk membeli barang keperluan persekolahan sebelum hari pendaftaran bagi mengelakkan kesesakan di kaunter koperasi sekolah pada hari berkenaan. Koperasi sekolah akan dibuka dari 18 hingga 22 Disember 2017 dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Senarai barang keperluan telah dilampirkan bersama Borang Pengesahan Kehadiran.
No comments:
Post a Comment