Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Saturday, September 15, 2018

MAJLIS PENUTUPAN BULAN KEMERDEKAAN 2018


Bulan Kemerdekaan telah sampai ke penghujungnya. Maka satu Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan telah diadakan pada 14/09/2018 (Jumaat) bertempat di kantin sekolah. Pada majlis tersebut, diselitkan pertandingan pakaian kemerdekaan. Pertandingan tersebut telah disertai oleh murid-murid yang mewakili kelas masing-masing.

Pelbagai ragam dan gaya pakaian yang telah diperagakan oleh para peserta. Ada peserta yang memakai baju kebaya, baju Melayu dan ada juga peserta kreatif yang telah menggabungkan pakaian dengan bendera Jalur Gemilang.

Di akhir majlis penutupan, para pemenang bagi setiap pertandingan yang telah diadakan pada sepanjang bulan kemerdekaan ini telah diberikan hadiah. Penyampaian hadiah telah diberikan oleh Pn. Siti Saadah binti Mukrim, Guru Besar SK Bukit Tampoi (A). Turut hadir pada majlis tersebut adalah YDP PIBG, guru-guru penolong kanan, guru-guru dan semua murid.

Tahniah kepada semua pemenang serta syabas dan terima kasih kepada Panitia Sejarah yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini sejak dari awal sehingga tamat. Tahniah diucapkan kepada Pn. Nicollette dan tenaga kerja yang lain kerana telah berjaya menjadikan program bulan kemerdekaan suatu program yang bermanfaat kepada semua murid untuk dijadikan pengetahuan yang bermakna sebagai rakyat Malaysia.

KARNIVAL STEM 2018


Karnival STEM 2018 telah diadakan pada 14/09/2018 (Jumaat) bertempat di SK Presint 11(1). Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selaku menaja telah menjemput seramai 20 orang murid bersama 2 orang guru pengiring untuk menghadiri karnival tersebut.

Karnival STEM ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada peringkat sekolah rendah tentang kepentingan dan keseronokan mempelajari program STEM. Ia juga sebagai pendorong dan motivasi untuk menarik minat murid terutamanya sekolah rendah untuk mencintai STEM.

Beberapa buah sekolah yang berhampiran dengan tempat karnival telah dijemput untuk menyertai karnival tersebut. Sekolah-sekolah yang terlibat terdiri daripada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Asli.

Pemilihan sekolah telah dibuat dan ditentukan oleh PPD Sepang sebagai daerah yang paling hampir dengan tempat karnival. Terima kasih diucapkan kepada PPD Sepang kerana telah memilih sekolah kami untuk menyertai karnival tersebut. Banyak maklumat dan pengalaman yang berguna kepada murid-murid yang hadir. Semoga mereka bertambah minat dengan STEM dan menghebahkannya kepada rakan-rakan mereka yang lain.







CUTI HARI MALAYSIA 2018

Adalah dimaklumkan bahawa sekolah akan bercuti selama 1 hari. Maklumat cuti tersebut adalah seperti di dalam jadual di bawah ini : -

Tarikh
Perayaan
Jenis Cuti
16/09/2018 (Ahad)
Hari Malaysia
Cuti Umum
17/09/2018 (Isnin)
Hari Malaysia
Cuti Ganti

Diharapkan agar ibu, bapa dan penjaga ambil maklum tentang perkara di atas. Sekolah akan beroperasi semula seperti biasa pada 18 September 2018 (Selasa). Sekian, harap maklum.

Friday, September 14, 2018

KEJOHANAN SUKAN SEKOLAH MURID ORANG ASLI PERINGKAT NEGERI SELANGOR 2018


Kejohanan Sukan Sekolah Murid Orang Asli peringkat negeri Selangor telah diadakan pada 12 dan 13 September 2018. Pada tahun ini PPD Sepang telah dipilih sebagai tuan rumah kejohanan sukan tersebut. Terdapat dua jenis sukan iaitu sukan balapan dan padang (olahraga) serta permainan berpasukan.


Acara sukan dan padang yang dipertandingkan adalah seperti larian 100M, larian 200M, lompat jauh, lompat tinggi dan lontar peluru. SK Bukit Tampoi (A) telah berjaya memenangi 2 pingat perak dan 1 pingat gangsa. Pingat perak telah sumbangkan di dalam acara lompat jauh (L) dan lontar peluru (L) manakala pingat gangsa telah disumbangkan di dalam acara larian 200M.


Acara permainan berpasukan pula mempertandingakan permainan bola sepak, sepak takraw dan bola baling (L&P). Sekolah kita telah menyertai permainan sepak takraw dan telah berjaya membawa pulang  1 pingat gangsa. Dengan ini kita layak untuk mewakili negeri Selangor ke peringkat kebangsaan pada bulan Oktober 2018 yang akan dianjurkan oleh negeri Johor Darul Takzim.



Tahniah diucapkan kepada pengurus pasukan, jurulatih, para atlet dan guru-guru yang bertugas sebagai urusetia di sepanjang kejohanan KSSMOA peringkat negeri Selangor bagi tahun 2018. Syabas dan terima kasih juga diucapkan kepada YDP dan AJK PIBG yang sanggup turun padang memeriahkan kejohanan dan memberi sokongan moral kepada semua atlet.