Program Transformasi Peningkatan Minda Murid Orang Asal (Asli) ini telah dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Sepang ke beberapa sekolah di negeri Perak. Sekolah-sekolah yang terlibat di dalam lawatan ini adalah SK Bukit Tampoi (A), SK Bukit Dugang (A), SK Sungai Melut (A), SMK Dengkil dan SMK Sungai Rawang dengan masing-masing membawa 12 orang murid dan 2 orang guru pengiring.
Sekolah-sekolah yang dilawati adalah SMK Sri Tapah, SK Jernang dan SK Pos Musuh. Program 2 hari 1 malam telah dimulakan dengan lawatan ke SMK Sri Tapah. Sekolah tersebut merupakan sebuah sekolah yang mempunyai seramai 600 orang daripada 800 orang yang terdiri daripada murid Orang Asli kaum Semai.
Kemudian, lawatan diteruskan ke SK Jernang, Sungkai. Sekolah ini merupakan Johan Kelas Kedap Peringkat Kebangsaan di Pertandingan Amalan Terbaik Sekolah-sekolah Orang Asli yang diadakan di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands. Sekolah ini dikategorikan sebagai P1 iaitu sekolah yang tiada kemudahan bekalan air terawat bermeter. Oleh itu, ahli rombongan terpaksa menaiki lori yang disediakan oleh pihak JAKOA negeri Perak untuk ke sekolah tersebut.
Pada hari kedua, lawatan diteruskan dengan pergi ke SK Pos Musuh, Tapah. Sebelum ke sana, kami telah singgah di Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang, Tapah. Di sana kami disambut oleh Pegawai Perhubungan Awam, En. Azman dan beberapa orang pegawai PPD Batang Padang. Seterusnya kami diperkenalkan dengan En. Hasnol (GPK Pentadbiran) dan En. Mustakim (GPK HEM) dari SK Pos Musuh.
Dengan bantuan 2 orang guru ini yang menjadi penunjuk arah kepada kami untuk perjalanan ke SK Pos Musuh. Perjalanan yang mengambil masa 1 jam perjalanan terpaksa dihentikan kepada pengangkutan yang digunakan tidak dapat melalui jalan yang berliku lagi sempit. Kenderaan yang kami gunakan ialah sebuah van. Menurut guru pengiring kami, kenderaan yang sesuai untuk ke sekolah mereka ialah dengan menggunakan pacuan empat roda (4W).
Dipertengahan jalan tersebut, kami terpaksa menyerahkan Perjanjian Persefahaman (MOU) kepada wakil daripada sekolah tersebut. Kami berasa amat hampa dan terkilan kerana tidak dapat sampai ke destinasi yang sepatutnya. Walau bagaimanapun, atas faktor keselamatan kami terpaksa membatalkan lawatan tersebut.
Semasa perjalanan kami ke SK Pos Musuh, murid-murid yang mengikuti rombongan telah beriadah di Felda Regensi Hot Springs dengan bermandi-manda di sana dengan diawasi oleh beberapa orang guru pengiring. Ini adalah peluang kepada mereka untuk merasai kehangatan air panas semula jadi. Selepas makan tengah hari. kami bertolak pulang pada pukul 2.30 petang.