Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Tuesday, August 20, 2024

PROGRAM PIDATO 3 MINIT ASPIRASI GENERASI MADANI PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2024


Pada hari ini, 20 Ogos 2024 (Selasa), SK Bukit Tampoi (A) telah menyertai Program Pidato 3 Minit Aspirasi Generasi MADANI Peringkat Kebangsaan Tahun 2024. Program ini telah diadakan serantak di seluruh negara di sekolah masing-masing. Seramai 12 orang murid telah dipilih untuk menyertai program tersebut.

Program ini diadakan bukan sahaja untuk mendapatkan pengiktirafan Malaysia Book of Records tetapi untuk menggalakkan murid-murid menyertai pidato dalam kalangan sekolah. Sesuai dengan sudut pidato yang diwujudkan di setiap sekolah untuk memberi peluang dan ruang kepada murid-murid menyertai aktiviti tersebut.

Terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana mengambil inisiatif untuk menganjurkan program ini yang sekaligus dapat menambah markah PAJSK murid agar pelibatan murid di peringkat kebangsaan.

Monday, August 19, 2024

PELANCARAN BULAN KEMERDEKAAN 2024

Bulan Kemerdekaan 2024 telah dilancarkan secara rasminya pada 19 Ogos 2024 (Isnin) yang telah dirasmikan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor, Guru Besar SK Bukit Tampoi (A). Turut sama pada majlis perasmian tersebut adalah GPK Pentadbiran, GPK Hal Ehwal Murid dan GPK Kokurikulum.

Tema Bulan Kemerdekaan pada tahun ini adalah "Malaysia MADANI Jiwa Merdeka" membawa makna yang dekat dengan hati murid-murid sekalian. Mereka perlu meningkatkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang di dalam kelas masing-masing.

Gimik perasmian pada tahun ini adalah mengibarkan Jalur Gemilang yang perlu dikeluarkan daripada bongkah ais. Persembahan yang sangat unik bagi murid-murid di SK Bukit Tampoi (A) ini. Pelbagai aktiviti yang dirancang diadakan di sepanjang program ini berlangsung.

Semoga murid-murid mendapat manfaat daripada program ini. Pada masa yang sama, kuiz kemerdekaan telah dijalankan selepas acara perasmian di tapak perhimpunan. Beberapa orang murid telah dipilih untuk menjawab soalan spontan tersebut. Murid yang berjaya menjawab dengan tepat telah diberikan hadiah.

KEHADIRAN KELAS TERBAIK JULAI 2024

Anugerah Kehadiran Kelas Terbaik bagi Julai 2024 adalah Tahun 5 Dahlia

HASIL TUAIAN PERTAMA SISTEM ORGANOPONIK 2024

Tanaman Sistem Organoponik atau lebih dikenali sebagai sistem rumah hijau adalah usaha sama di antara SK Bukit Tampoi (A) bersama MyKasih Foundation dan Urban Hijau. Projek ini telah mendapat tajaan daripada Latin Women Organisation dan Linde.

Projek yang telah dimulai pada Julai 2024 telah membuahkan hasil. Pada 16 Ogos yang lalu, murid-murid dan guru pembimbing bersama En. Irfan daripada Urban Hijau telah bersama-sama memetik hasil pertama daripada projek ini. Hasil pertama ini telah dituai, dibersihkan, ditimbang dan dibungkus oleh murid-murid sekolah ini.

Hasil yang telah siap dibungkus diagihkan kepada murid-murid yang turut serta dalam projek ini. Ini sebagai motivasi kepada mereka agar lebih gigih berusaha untuk meningkatkan produktiviti tanaman mereka. Di samping itu, ia juga memberi semangat kepada murid-murid untuk meneruskan usaha mereka menjaga dan memelihara tanaman mereka agar lebih baik dan terurus.

Terima kasih kepada MyKasih Foundation, Latin Women Organisation, Linde dan Urban Hijau kerana memberi peluang kepada murid-murid sekolah ini menimba ilmu baharu berkaitan pertanian moden agar mereka boleh gunakan untuk menjana pendapatan sendiri pada suatu hari nanti. Diharapkan projek ini dapat diteruskan sehingga murid-murid boleh melaksanakan segala aktiviti pertanian ini sendiri.



Friday, August 16, 2024

TAKLIMAT PROGRAM INTERVENSI KURIKULUM TAHUN 1 SESI 2024

Taklimat Program Intervensi Kurikulum Tahun 1 Sesi 2024 telah diadakan pada 16 Ogos 2024 (Jumaat) di bilik Sains, SK Bukit Tampoi (A). Taklimat ini diadakan adalah untuk memberikan penerangan kepada ibu bapa tentang program tersebut agar ibu bapa sentiasa peka akan perkembangan pembelajaran anak mereka.

Taklimat ini telah dirasmikan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor, Guru Besar SK Bukit Tampoi (A) dan penerangan berkaitan program disampaikan oleh Pn. Noresah binti Sapari, GPK Pentadbiran. Program ini dilaksanakan buat murid Tahun 1 bagi menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Program dilaksanakan pada 2 fasa iaitu Fasa 1 dari Julai hingga September dan Fasa 2 dari Oktober hingga Disember. Diharapkan dengan pelaksanaan program ini, murid-murid Tahun 1 dapat menguasai kemahiran 3M dengan jayanya.

HARI TERBUKA SK BUKIT TAMPOI (A) TAHUN 2024

PROGRAM KEPIMPINAN MURID TAHUN 2024


Program Kepimpinan Murid Tahun 2024 telah diadakan pada 16 Ogos 2024 (Khamis) di bilik Sains, SK Bukit Tampoi (A). Program yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling telah disampaikan oleh En. Mohd Firdaus Ayak bin Abdullah selaku fasilitator.

Sasaran program ini adalah buat pengawas sekolah, pengawas pusat sumber, pengawas SPBT, ketua dan penolong ketua kelas. Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan akan tugas dan tanggungjawab yang perlu digalas oleh mereka sebagai wakil guru di sekolah.

Program dimulai dengan rapport suai mesra yang diikuti dengan aktiviti ice breaking. Kemudian para peserta perlu mengikuti aktiviti forming seperti aktiviti Bingo dan lukis muka. Seterusnya mereka perlu juga emngikuti aktiviti norming seperti aktiviti bermain dengan pengedut minuman dan menyusun pembaris. 

Aktiviti terakhir yang dijalankan adalah aktiviti performing iaitu aktiviti fire, hunter, earthquake dan angin bertiup kencang. Program ini ditutup dengan aktiviti membuat refleksi terhadap semua aktiviti yang telah diikuti oleh semua peserta.

Terima kasih kepada Unit Bimbingan dan Kaunseling kerana berjaya menganjurkan program ini. Semoga para pemimpin sekolah ini dapat menjalankan tugas dengan lebih baik dan penuh tanggungjawab. 

Thursday, August 15, 2024

PROGRAMME FUNGI FLOURISH 2024


"Programme Fungi Flourish" adalah program jalinan di antara Kulliyyah of Economics and Management Sciences, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak dan Solihin Group bersama SK Bukit Tampoi (A). Projek kerjasama ini dilaksanakan untuk menyediakan pondok cendawan tiram kelabu beserta bongkah semaian yang bertujuan untuk memupuk minat bertani dalam kalangan murid-murid sekolah rendah serta dapat meningkatkan pengetahuan dalam menguruskan kewangan.

Projek ini telah dirasmikan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor, Guru Besar SK Bukit Tampoi (A) dengan disaksikan oleh kakitangan Salihin Group, penuntut UIA, penuntut IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan, guru-guru serta murid-murid SK Bukit Tampoi (A). Acara perasmian telah diadakan pada 15 Ogos 2024 (Khamis) di kantin sekolah.

Cik Fasalia Ernie binti Samat selaku pengarah projek serta 5 orang penuntut UIA telah bertungkus-lumus untuk menyediakan pondok, memasang jaring hitam dan menyediakan bongkah cendawan yang sudah boleh dituai. Manakala Salihin Group pula berperanan untuk memberi pendidikan berkaitan pengurusan kewangan kepada murid-murid yang terlibat.

Selain daripada itu, turut diundang adalah Cik Afiza (suku Jakun) dan En. Donny (suku Semelai) iaitu penuntut Orang Asli daripada IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis sebagai penceramah motivasi kepada murid-murid SK Bukit Tampoi (A). Mereka memberikan galakan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi seperti mereka yang bakal menamatkan pengajian perguruan mereka tidak lama lagi.

Terima kasih diucapkan kepada penuntut UIA Gombak, IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan dan Salihin Group kerana telah memilih SK Bukit Tampoi (A) untuk projek ini. Sumbangan kalian sangat bermakna bagi murid-murid sekolah ini kerana minat mereka terhadap pertanian amat mendalam. Semoga murid-murid sekolah ini dapat belajar menguruskan pondok cendawan ini dengan jayanya.


Ucapan Guru Besar


Ucapan Pengurus Projek
(Cik Fasalia Ernie binti Samat)


Ceramah Motivasi
(En. Donny)


Ceramah Motivasi
(Cik Afiza)


Ceramah Kewangan
(Salihin Group)