Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Tuesday, January 21, 2020

KEJOHANAN MERENTAS DESA 2020


Pada 10 Januari 2020, SK Bukit Tampoi (A) telah mengadakan Kejohanan Merentas Desa peringkat sekolah tahun 2020. Latihan bagi mengenal trek larian dan juga latihan merentas desa juga telah dilaksanakan selama dua hari iaitu pada 8 dan 9 Januari 2020. 

Kejohanan Merentas Desa ini melibatkan murid tahun 3, 4, 5 dan 6. Trek larian yang digunakan melibatkan kawasan Kampung Orang Asli (KOA) Bukit Tampoi dan Bukit Bangkong. Pelepasan peserta larian telah dilaksanakan oleh Puan Siti Saadah Binti Mukrim, Guru Besar SK Bukit Tampoi (A).

Dapat dilihat melalui aktiviti merentas desa ini, penglibatan murid secara menyeluruh serta kehadiran murid meningkat. Malah, semangat kesukanan dalam diri murid juga dapat dilihat semasa hari kejohanan di mana murid bersungguh-sungguh berlari dan bersaing antara satu sama lain bagi memperoleh nombor 1. 

Seterusnya, setelah keputusan pemenang diperolehi, majlis penyampaian hadiah telah dilaksanakan selepas waktu rehat. Murid yang mendapat kedudukan nombor 1 sehingga 4 dipilih untuk mewakili sekolah untuk Kejohanan Merentas Desa peringkat daerah. Diharap murid yang mewakili sekolah ke peringkat daerah akan terus mengekalkan kejuaraan dan mengharumkan nama SK Bukit Tampoi (A).







Thursday, January 2, 2020

PROGRAM ORIENTASI TAHUN 1 SESI 2020


Program Orientasi Tahun 1 Sesi 2020 telah diadakan pada 2 Januari 2020 (Khamis) di bilik darjah Tahun 1 Melur, SK Bukit Tampoi (A). Ramai ibu bapa yang hadir untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah bagi memulakan sesi persekolahan tahun 2020.

Seramai 17 orang murid yang berjaya hadir pada sesi kali ini. Walau bagaimanapun, bilangan murid akan bertambah dalam seminggu dua nanti. Ini disebabkan oleh kekangan ibu bapa yang bekerja dan tidak mendapat cuti bagi menguruskan anak masing-masing.

Sehubungan dengan program tersebut, satu majlis ringkas telah diadakan di dalam kelas tersebut. Pada majlis tersebut, Guru Besar, PK Pentadbiran dan PK Kokurikulum telah menyampaikan taklimat tentang sesi persekolahan yang akan berlangsung sepanjang tahun 2020 ini. 

Kemudian, ibu bapa dibimbing oleh Pn. Siti Najlaa selaku guru kelas dan guru-guru pembantu bagi sesi mengisi borang-borang seperti APDM, Kad Gigi, Borang PB1 (Bantuan) dan sebagainya. Syukur alhamdullillah kerana progran ini berjalan dengan jayanya. Diharapkan agar sesi persekolahan tahun 2020 akan gemilang dengan murid-murid yang terbilang.







PROGRAM JOM KE SEKOLAH 2020



Program Jom Ke Sekolah bagi sesi persekolahan tahun 2020 telah dijalankan pada 2 Januari 2020 (Khamis) dengan kerjasama tiga orang anggota polis dari Balai Polis Dengkil. Mereka adalah Koperal Hairul Nizam, Koperal Rusydi Andalus dan Konstabel Mohammad Faizal. 

Justeru itu, satu perhimpunan ringkas telah diadakan bagi memberi taklimat keselamatan kepada semua murid tentang peraturan dan aspek-aspek keselamatan yang perlu dijaga dan patuhi sentiasa. Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Konsatel Mohammad Faizal.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh anggota polis dari Balai Polis Dengkil kerana telah sudi hadir dan menyampaikan pesanan berkaitan aspek-aspek keselamatan ketika berada di sekolah. Kami mengharapkan agar pesanan yang disampaikan memberi impak positif terhadap murid-murid di sini.


Tuesday, December 17, 2019

PERPINDAHAN CIKGU NICOLLETE ANAK GABRIEL PUEM 2019


Pn. Nicollete Anak Gabriel Puem yang telah memasuki SK Bukit Tampoi (A) dari tahun 2017. Beliau telah berkhidmat di sekolah ini selama 2 tahun kerana mengikut suami yang bertugas di Putrajaya. Pada tahun lalu suami beliau telah berpindah semula ke Sarawak. Justeru itu, sebagai isteri yang taat kepada suami beliau telah memohon bertukar ke Sarawak semula. Malangnya permohonan pertama beliau telah ditolak.

Dengan perasaan yang sedih, beliau masih bertekad untuk membuat rayuan ke Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya. Akhirnya, rayuan beliau diterima pada pertengahan bulan November yang lalu yang membolehkan beliau pulang semula ke negeri kelahirannya di Sarawak.

Tahniah diucapkan kepada Cikgu Nicollete di atas kejayaan cikgu bertukar ke Sarawak. Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada cikgu kerana sudi berbakti dan mencurahkan ilmu kepada anak-anak murid kami di sini. Semoga cikgu gembira dan meneruskan tugas dengan lebih cemerlang di sana. Kami di sini pasti akan merindui Cikgu Nicollete selamanya.


HARI SUKARELAWAN MALAYSIA 2019


Hari Sukarelawan Malaysia 2019 telah disambut di SK Bukit Tampoi (A) pada 7 Disember 2019 (Sabtu). Program yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) melibatkan Persatuan Belia Orang Asli Sepang, sukarelawan UKM, penduduk KOA Bukit Tampoi (A) dan KOA Kolam Air Bangkong.

Program Sukarelawan ini diadakan serentak dengan majlis pelancaran program pada peringkat kebangsaan yang diadakan di Kampung Sungai Merab, Kajang. Majlis pelancaran telah dirasmikan oleh YB Syed Sadik (Menteri Belia dan Sukan) sendiri.

Aktiviti yang dijalankan oleh para sukarelawan di SK Bukit Tampoi (A) adalah mengecat sekeliling pagar sekolah. Semua peralatan dan cat disumbangkan oleh Kementerian Belia dan Sukan. Aktiviti tersebut berjaya disiapkan dalam tempoh satu hari sahaja.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Tok-tok Batin, Persatuan Belia Orang Asli Sepang dan sukarelawan UKM yang telah memilih sekolah kami bagi menjalankan aktiviti sukarelawan ini.