Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Monday, July 1, 2019

SUKAN TAHUNAN SK BUKIT TAMPOI (A) KALI KE-23 TAHUN 2019


Temasya Sukan Tahunan SK Bukit Tampoi (A) kali ke-23 telah diadakan pada 30 Jun 2019 (Ahad) di Padang Awam, KOA Bukit Tampoi. Acara sukan yang diadakan merangkumi tiga acara iaitu acara padang, balapan dan sukaneka. Semua acara padang dan sebahagian acara sukaneka telah diadakan sebelum temasya sukan dibuat.

Majlis perasmian Sukan Tahunan SK Bukit Tampoi (A) kali ke-23 telah disempurnakan oleh En. Rajalingam R. selaku Ahli Majlis Perbandaran Sepang. Turut hadir pada majlis ini adalah Tok Batin-Tok Batin dari lima buah Kampung Orang Asli (KOA) iaitu KOA Bukit Tampoi, KOA Kolam Air Bangkong, KOA Bukit Dugang, KOA Bukit Baja dan KOA Batu 28.

Acara perbarisan dimulai sejurus ketibaan perasmi ke padang. Perbarisan lintas hormat dilakukan oleh pasukan Rumah Biru, Rumah Merah, Rumah Kuning dan Prasekolah. Seterusnya acara lafaz ikrar oleh adik Katherina A/P Zaberi selaku Ketua Pengawas Sekolah.

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Pn. Siti Saadah binti Mukrim (Guru Besar) dan diikuti oleh ucapan perasmian oleh En. Rajalingam R. (Ahli Majlis Perbandaran Sepang). Sejurus ucapan perasmian, para hadirin disajikan dengan persembahan daripada Pasukan Senam Sihat SK Bukit Tampoi (A) yang telah memenangi tempat ketiga di Pertandingan Senam Sihat yang dianjurkan oleh PKD Sepang.

Selepas selesai majlis perasmian, acara sukan pun bermula. Acara dimulai dengan acara sukaneka dan diikuti oleh acara balapan. Acara balapan yang diadakan adalah larian 60 meter (Prasekolah, Tahun 1 dan Tahun 2), 80 meter (Tahun 3 dan Tahun 4) dan 100 meter (Tahun 5 dan Tahun 6).

Selain daripada itu, terdapat juga acara yang dianjurkan untuk ibu bapa dan penjaga. Di antara acara yang dipertandingkan adalah pertandingan melastik botol dan mencari barangan tersembunyi. Ahli Jawatankuasa PIBG turut menganjurkan pertandingan seperti teka kacang, teka berat betik dan pertandingan karaoke.

Pada akhir temasya sukan tahunan ini diadakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang. Pemenang bagi acara perbarisan lintas hormat telah dimenangi oleh Rumah Kuning (Pertama), Rumah Merah (Kedua) dan Rumah Biru (Ketiga). Pemenang keseluruhan bagi Sukan Tahunan SK Bukit Tampoi (A) kali ke-23 ini telah dinobatkan kepada Rumah Biru (Pertama), Rumah Merah (Kedua) dan Rumah Kuning (Ketiga).

Manakala olahragawan dan olahragawati telah diberikan masing-masing kepada adik Ijasrul dari Rumah Biru dan Nor Ain juga dari Rumah Biru. Dengan keputusan yang telah dikeluarkan ini, maka berrakhirlah sudah temasya Sukan Tahunan SK Bukit Tampoi (A) kali ke-23 tahun 2019 dengan jayanya. Semoga kita bertemu lagi pada tahun hadapan.







































No comments:

Post a Comment