Kunjung Bantu Projek 1D5MS+ Selangor telah diadakan pada 19 Oktober 2022 (Rabu). Seramai tiga orang pegawai daripada PPD Petaling Utama, PPD Petaling Perdana dan PPD Sepang. Mereka adalah Pn. Hanisah binti Mohd Ali (SIP+ PPD Petaling Utama), Dr. Elenchothy a/p Davrajoo (SISC+ PPD Petaling Perdana) dan Tuan Haji Mohd Rosli bin Ahmad (Pegawai Meja TS25 PPD Sepang).
Kunjungan mereka ke SK Bukit Tampoi (A) adalah untuk melihat dan membuat penarafan terhadap Program TS25. Ini adalah sebahagian daripada Projek 1 Daerah 5 Model Sekolah Plus (1D5MS+) negeri Selangor. Kunjung bantu ini melibatkan tiga hari iaitu sesi pembentangan Guru Besar pada 18 Oktober (Selasa) di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya, sesi kunjung bantu pada 19 Oktober 2022 (Rabu) di SK Bukit Tampoi (A) dan sesi verifikasi data pada 20 Oktober 2022 (Khamis) di MMU Cyberjaya.
Kunjungan di SK Bukit Tampoi (A) dimulai dengan Tarian Sewang iaitu tarian tradisional masyarakat Orang Asli diikuti dengan taklimat berkaitan sekolah yang disampaikan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor (Guru Besar) di Pusat Sumber Sekolah (PSS). Kemudian pada pegawai dibawa berkunjung ke prasekolah untuk melihat murid prasekolah bercerita tentang jenis-jenis haiwan menggunakan diorama.
Seterusnya, mereka dibawa berkunjung ke Tahun 4 untuk menyaksikan pembentangan yang disampaikan oleh murid-murid berkaitan pembinaan model menggunakan bentuk 2D dan 3D di dalam bilik darjah. Kemudian, mereka dibawa ke bilik pemulihan untuk melihat murid-murid pemulihan belajar menggunakan teknik nyanyian dan ketukan semasa menyebut suka kata terbuka.
Semasa para pelawat menuju ke kelas Tahun 3, mereka sempat singgah di lorong SK Bukit Tampoi (A) untuk melihat gambar-gambar aktiviti dan pencapaian murid-murid dalam bidang Hal Ehwal Murid dan Kokurikulum. Pencapaian semasa murid-murid di sini adalah dalam bidang sukan di mana mereka telah berjaya memperoleh 4 pingat emas, 2 pingat perak dan 1 pingat gangsa dalam Kejohanan Sukan Sekolah Murid Orang Asli (KSSMOA) peringkat negeri Selangor yang telah diadakan di Hulu Selangor.
Ketika berada di kelas Tahun 3, mereka dihidangkan dengan persembahan murid yang menyampaikan nyanyian dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Murid-murid menyampaikan nyanyian dengan penuh semangat dan keyakinan yang tinggi. Teknik nyanyian banyak digunakan oleh guru-guru di sini untuk menyampaikan pembelajaran kepada murid-murid kerana ia mudah, menarik dan cepat untuk dikuasai oleh murid-murid.
Berikutnya, para pelawat dibawa berkunjung ke makmal Sains untuk menyaksikan demonstrasi masakan yang dilakukan oleh murid-murid Tahun 5. Menu masakan yang dihidangkan adalah sandwich sardin dan sandwich telur. Murid-murid turut memberikan penjelasan semasa memasak sardin dengan jelas dan teratur. Para pelawat turut dijamu dengan hasil air tangan murid-murid tersebut.
Kemudian, para pelawat dibawa pula berkunjung ke belakang makmal Sains untuk mendengar dan melihat penjelasan murid-murid tentang tanaman urban yang telah dihasilkan mereka. Tanaman urban atau tanaman bandar ini dihasilkan memalui dua kaedah iaitu kaedah aquaponik dan hidroponik. Tanaman yang dihasilkan pula adalah tanaman sayuran berdaun seperti sayur kangkung.
Seterusnya, para pelawat dibawa pula melawat Bilik Seni di mana murid-murid Tahun 1 berada. Mereka telah membentangkan hasil kerja mereka dengan memberikan penjelasan kepada pelawat yang hadir. Kunjungan diteruskan ke Bilik Komputer untuk menyaksikan persembahan murid-murid menghasilkan robotik. Kit Robotik ini disumbangkan oleh Sasbadi dan Yayasan MyKasih untuk kegunaan murid-murid di sekolah ini. Guru-guru juga diberi tunjuk ajar cara menggunakan kit robotik tersebut.
Pada akhir lawatan, para pelawat dibawa ke Bilik Mesyuarat untuk melihat dan meneliti fail-fail yang berkaitan dengan Program TS25. Mereka turut bersoal jawab dengan guru besar dan penolong kanan tentang kandungan fail yang diberikan. Walaupun banyak kriteria kandungan fail yang diberikan namun masih ada penambahbaikan yang perlu dikemaskini. Semoga dengan kunjungan ini dapat menjadikan SK Bukit Tampoi (A) sebuah sekolah yang boleh menjadi role model bagi sekolah TS25 yang lain.