Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Monday, April 30, 2018

MINUMAN MILO PERCUMA 2018


Minuman Milo adalah minuman yang berkhasiat sebagai minuman bertenaga jika diambil pada waktu pagi. Nestle Malaysia telah berbesar hati untuk memberikan minuman Milo secara percuma kepada semua murid sekolah ini.

Sebuah van Milo telah dihantar ke sekolah untuk tujuan tersebut. Semua murid telah diberikan secawan minuman Milo secara percuma. Terima kasih kepada Nestle Malaysia kerana sudi memberikan minuman yang berkhasiat kepada murid-murid sekalian.



Wednesday, April 25, 2018

PROGRAM LATIHAN PENCEGAHAN KEBAKARAN 2018 (SIRI 1)


Program Latihan Pencegahan Kebakaran adalah program tahunan yang mesti dilaksanakan oleh setiap sekolah di Malaysia. Tujuan pelaksanaan program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada warga sekolah tentang kepentingan keselamatan diri masing-masing.


Warga sekolah didedahkan kepada situasi kecemasan yang sebenar apabila berlakunya kebakaran. Loceng yang panjang dibunyikan dan semua warga sekolah perlu keluar daripada tempat masing-masing dalam keadaan yang senyap dan terkawal ke tempat berkumpul.


Semasa di tempat berkumpul guru kelas perlu mengira jumlah murid yang berkumpul adalah sama dengan Buku Kedatangan Murid. Alhamdulillah kerana jumlah murid yang berkumpul adalah mencukupi. 


Sejurus selepas itu, GPK Hal Ehwal Murid telah menyampaikan taklimat tentang latihan yang telah dilaksanakan. Beberapa kelemahan telah dikenal pasti, antaranya murid membuat bising semasa beratur, tidak mengikut laluan yang paling dekat dan ada murid yang kembali ke kelas semata-mata untuk menyimpan buku.


Secara keseluruhannya, latihan pencegahan kebakaran pada kali ini agak memuaskan kerana masih terdapat beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki. Latihan kali kedua perlu dijalankan bagi mengatasi kelemahan tersebut yang dijangka dijalankan pada bulan Ogos.

PROGRAM JOM BACA BERSAMA UNTUK 10 MINIT


Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit merupakan langkah besar-besaran Perpustakaan Awam Negeri-negeri dalam memacu masyarakat ke arah minat membaca sekali gus menjadikan Perpustakaan Awam Negeri-negeri Se-Malaysia relevan dalam kehidupan masyarakat seharian.


Program ini telah dilaksanakan secara serentak di seluruh negara pada 24 april 2018 (Selasa) bermula pada jam 11.00 pagi sehingga 11.10 pagi. Proses pelaksanaannya mengambil inspirasi daripada konsep Earth Hour, yang mana pada hari berkenaan rakyat Malaysia akan berhenti sebentar dan membaca bersama-sama selama 10 minit.


Unit Pusat Sumber Sekolah telah diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan program ini di peringkat sekolah. Buku-buku cerita telah diedarkan oleh pengawas-pengawas PSS ke setiap kelas bagi menjayakan program tersebut. Guru mata pelajaran pada masa berkenaan diberikan peranan untuk melaksanakannya pada waktu tersebut di kelas masing-masing.

PROGRAM KOMUNITI PEMBELAJARAN PROFESIONAL (PLC) LINUS2.0 LITERASI BAHASA MELAYU TAHUN 2018


Program Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) Linus2.0 bagi Literasi Bahasa Melayu telah diadakan di SK Bukit Tampoi (A) pada 24 April 2018 (Selasa). Sepasukan pemantau di peringkat PPD Sepang yang terdiri daripada Pegawai FasiLINUS, Pegawai-pegara SISC+ dan Jurulatih Utama FasiLINUS telah hadir ke sekolah untuk membuat pemantauan terhadap proses pengajaran pembelajaran dan komunikasi (PdPc).


Pemantauan PdPc yang dilakukan telah dibuat terhadap En. Mohd. Firdaus Ayak bin Abdullah yang mengajar Bahasa Melayu Tahun 2 Mawar. Tujuan pemantauan adalah untuk membantu memantapkan lagi proses PdPc untuk mencapai piawaian yang ditetapkan oleh Nazir KPM.


Dengan adanya pemantauan yang berkala daripada pihak PPD mutu pendidikan di Malaysia dapat dipertingkatkan. Manakala murid yang mengikuti pembelajaran ini juga akan berjaya menerima ilmu yang disampaikan dengan lebih mudah.

Thursday, April 19, 2018

PROGRAM KEPIMPINAN SEKOLAH 2018


Program Kepimpinan Sekolah 2018 telah dilaksanakan pada 19 April 2018 (Khamis) di SK Bukit Tampoi (A). Unit Disiplin telah menjemput Pegawai Perhubungan Sekolah dari Balai Polis Dengkil sebagai tetamu undangan. Peserta-peserta yang terlibat di dalam program ini adalah papemimpin sekolah yang terdiri daripada pengawas sekolah, pengawas PSS, ketua dan penolong kelas.

Program ini dimulakan dengan ucapan Guru Besar dan diikuti oleh ceramah kepimpinan oleh Pegawai Perhubungan Sekolah. Diikuti oleh demonstrasi oleh polis peronda bersama motosikal masing-masing. Terdapat dua buah motosikal yang digunakan dalam demonstrasi tersebut.

Pada akhir program, semua guru dan murid bergambar kenangan bersama semua pegawai dan anggota polis yang terlibat di dalam program kali ini. Semoga program kali ini memberi impak positif kepada semua peserta program dalam menjalankan tugas dengan amanah dan tegas demi menjadikan murid SK Bukit Tampoi (A) berdisplin dan cemerlang.



Ucapan Guru Besar


Ceramah Kepimpinan


Pengawas Sekolah, Pengawas PSS, Ketua dan Penolong Kelas





Demonstrasi Polis Peronda


Wednesday, April 11, 2018

PROGRAM KESIHATAN UKM : PENCEGAHAN KUTU DALAM KALANGAN MURID ORANG ASLI


Pencegahan Kutu Dalam Kalangan Murid Orang Asli adalah di bawah Projek Pembangunan Komuniti IRM dengan kerjasama Program Sains Biomedik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur.  Mereka terdiri daripada 1 orang pensyarah, 5 orang penuntut sarjana dan 1 orang pemandu yang diketuai oleh Prof. Dr. Hidayatulfathi binti Othman. Program ini turut dihadiri oleh wakil daripada Islamic Relief Malaysia iaitu En. Mohamad Syakir bin Mohd Sarib.


Program ini diadakan pada 11 April 2018 (Rabu) di Makmal Sains mengikut kelas masing-masing. Murid-murid yang terlibat terdiri daripada murid-murid dari Tahun 1 sehingga Tahun 6. Aktiviti dilakukan dengan terlebih dahulu murid dibasahkan rambut mereka dengan ubat kutu. Kemudian rambut yang telah dibasahkan akan ditutup dengan tuala agar kutu terperangkap di kepala. Selang beberapa minit, selepas tuala dibuka, murid akan menjalani proses menyikat rambut menggunakan sikat kutu bagi mengeluarkan kutu dan telurnya. Segala keperluan untuk program ini telah ditaja oleh IRM.


Hasil daripada program ini, pihak sekolah dapat mengenal pasti beberapa orang murid yang memiliki kutu. Oleh yang demikian, pihak sekolah akan membuat susulan bersama dengan UKM dan IRM untuk berkunjung ke rumah murid yang terlibat untuk mengenal pasti punca masalah kutu ini. Ini memerlukan kerjasama dengan ibu bapa atau penjaga, PIBG, Batin dan JKKK kampung masing-masing. Semoga program ini dapat diteruskan ke kampung bagi membenteras masalah kutu dalam kalangan Orang Asli agar dapat hidup dalam keadaan sihat dan sejahtera.





Tuesday, April 10, 2018

PERBINCANGAN PROGRAM KOMUNITI BERSAMA UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM)




SK Bukit Tampoi (A) telah menerima kunjungan daripada para pensyarah dari Fakulti Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang terdiri daripada 4 orang pensyarah, 1 orang pembantu tadbir dan 1 orang pemandu. Turut hadir pada mesyuarat tersebut adalah 2 orang wakil dari Islamic Relief Malaysia (IRM) sebagai penaja kepada program yang akan dilaksanakan oleh UPM.

Perbincangan berkisar tentang latar belakang sekolah dan perkara yang memerlukan bantuan pihak UKM dan IRM dalam meningkatkan kehadiran murid ke sekolah dan memanfaatkan peserta kelas Kedap dalam menambah pendapatan agar dapat keluar daripada garis kemiskinan terutama sekali di kawasan bandar ini.

Hasil daripada perbincangan bersama pihak sekolah, UKM dan IRM, kami bersetuju untuk mengadakan beberapa aktiviti seperti lawatan sambil belajar, kursus pengurusan kewangan dan latihan kemahiran. Semua aktiviti yang dirancang akan melibatkan peserta Kedap dan murid-murid. Diharapkan dengan jaringan dan kerjasama di antara pihak komuniti dan pihak sekolah dapat membantu mengatasi beberapa masalah dan memberikan manfaat kepada murid, ibu bapa dan komuniti setempat.


PROGRAM KESIHATAN UKM : PENCEGAHAN CACING DALAM KALANGAN MURID ORANG ASLI


Pencegahan Cacing Dalam Kalangan Murid Orang Asli adalah di bawah Projek Pembangunan Komuniti IRM dengan kerjasama Program Sains Biomedik, Fakulti Sains Kesihatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur. Mereka terdiri daripada 2 orang pensyarah, 5 orang penuntut sarjana, 1 orang pembantu tadbir dan 1 orang pemandu yang diketuai oleh Prof. Dr Mohamed Kamel bin Abdul Ghani. Program ini turut dihadiri oleh wakil daripada Islamic Relief Malaysia yang di wakili oleh En. Mohamad Syakir bin Mohd Sarib. 




Program ini diadakan pada 10 April 2018 (Selasa) dan dijalankan dalam 2 sesi iaitu sesi pertama pada pukul 9.00 pagi hingga 10.00 pagi yang melibatkan murid-murid Tahap 1 manakala sesi kedua pada pukul 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Aktiviti yang dijalankan adalah sesi ceramah kesihatan yang disampaikan oleh para penuntut sarjana yang mengambil bahagian. Kemudian dijalankan sesi soal jawab bersama murid-murid. Pada akhir sesi murid-murid diberikan penerangan tentang cara mengambil sampel najis.




Murid diberikan penerangan tentang cara mengambil najis yang bertujuan untuk dianalisis oleh penuntut UKM sama ada muridmurid sekolah ini mempunyai masalah cacinga atau sebaliknya. Sampel-sampel ini akan dikumpulkan pada keesokkan hari oleh guru-guru di sekolah. Diharapkan agar program ini mendapat kerjasama daripada ibu bapa untuk mendapatkan sampel yang diperlukan.