Thursday, April 20, 2023
Tuesday, April 18, 2023
MAJLIS KHATAM AL-QURAN SK BUKIT TAMPOI (A) TAHUN 2023
Majlis Khatam Al-Quran SK Bukit Tampoi (A) telah dilaksanakan pada 18 April 2023 (Selasa) di Kantin SK Bukit Tampoi (A). Majlis telah diadakan pada pukul 8.00 pagi dengan seramai 36 orang murid yang beragama Islam yang diketuai oleh Guru Besar dan Ustaz Ismail. Terima kasih diucapkan kepada semua guru yang telah bekerjasama menjayakan majlis ini.
MAJLIS IFTAR RAMADAN SK BUKIT TAMPOI (A) TAHUN 2023
Majlis Iftar Ramadan SK Bukit Tampoi (A) Tahun 2023 telah diadakan pada 17 April 2023 (Isnin) di Kantin SK Bukit Tampoi (A). Majlis ini diadakan bermula dari pukul 6.30 petang hingga 8.00 malam. Semua murid yang beragama Islam telah dijemput menghadiri majlis tersebut. Turut hadir adalah ibu bapa yang mengiringi murid serta guru-guru sekolah.
Majlis ini mendapat tajaan daripada orang perseorangan yang bermurah hati yang diketuai oleh Dato' Zuraidah binti Atan dan rakan-rakan beliau. Tajaan meliputi jamuan berbuka puasa dan sumbangan duit raya untuk murid-murid beragama Islam. Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan yang telah dihulurkan. Semoga rezeki Dato' dan rakan-rakan bertambah dan melimpah-ruah.
Majlis ini telah dirasmikan oleh En. Muhammad Asyraf bin Sabri yang telah mewakili Dato' Zuraidah. Alhamdullah, syukur ke hadrat Ilahi majlis yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar walaupun dalam keadaan yang sederhana. Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyumbang kerana sudi menaja majlis iftar pada tahun ini. Semoga majlis seperti ini dapat diteruskan pada tahun hadapan.
Saturday, April 15, 2023
MAJLIS RAMAH MESRA DAN PENYERAHAN SUMBANGAN KEPADA PELAJAR SEKOLAH KEBANGSAAN ASLI DAERAH SEPANG
Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Sumbangan kepada Pelajar Sekolah Kebangsaan Asli Daerah Sepang telah dijalankan di Beach Pool Club, Gamuda Cove. Majlis ini adalah anjuran bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Selangor dan JAKOA Daerah Sepang. Sebanyak 5 buah sekolah kebangsaan yang mempunyai murid Orang Asli di daerah Sepang yang dijemput. Sekolah tersebut adalah SK Bukit Tampoi (A), SK Sungai Melut (A), SK Bukit Bangkong (A), SK Jenderam Hilir dan SK Bangi.
SK Bukit Tampoi (A) telah menghantar seramai 66 orang murid bersama 2 orang guru pengiring dan beberapa orang ibu bapa mewakili setiap kampung. Murid-murid berkumpul di tempat yang ditetapkan seawal 4.30 petang dengan menaiki bas yang disediakan oleh pihak Gamuda Cove. Setibanya mereka di sana, mereka dibawa menjelajah ke seluruh taman tema di Gamuda Cove.
Setelah selesai menjelajah taman tema, mereka turut dapat menjalankan aktiviti riadah yang disediakan secara percuma kepada para peserta. Kemudian, mereka dikumpulkan di Beach Pool Club untuk majlis berbuka puasa yang dihoskan oleh pengacara terkenal iaitu Naz Rahman (Jalan-jalan Cari Makan). Pelbagai hidangan dan juadah yang disediakan untuk jamuan para peserta.
Sejurus selepas berbuka puasa, para peserta dipersembahkan tarian oleh SplashMania Dancer sebagai hiburan. Kemudian, para peserta berkumpul sekali lagi untuk majlis penyerahan sumbangan yang berupa goodies bag dan baucer Hari-hari berjumlah RM150 seorang. Baucer ini boleh digunakan sehingga 30 Jun 2023.
Pada akhir majlis, para peserta dihimpunkan beramai-ramai untuk sesi bergambar bersama para penaja bersama-sama maskot Gamoda Cove. Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan yang sangat bermakna buat anak-anak Orang Asli di daerah Sepang khususnya. Sumbangan akan dimanfaatkan untuk membeli kelengkapan dan persediaan untuk menyambut hari raya yang akan tiba beberapa hari lagi. Semoga sumbungan seperti ini akan berterusan pada masa akan datang.
Wednesday, April 12, 2023
PEMANTAUAN PROGRAM TRANSISI TAHUN 1 SESI 2023
Pemantauan Program Transisi Tahun 1 bagi sesi 2023 telah dilakukan oleh Tn. Hj. Zaidi bin Choremi (Penolong Pegawai Pendidikan Daerah) daripada Unit Pendidikan Khas, PPD Sepang. Beliau hadir bertujuan untuk melihat sejauh mana keberkesanan Program Transisi ini dapat membantu murid Tahun 1 khususnya menyesuaikan diri dengan pembelajaran di sekolah.
Hasil pemantauan tersebut mendapat bahawa murid-muri di sekolah ini berjaya menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dan rakan-rakan baharu. Mereka seronok untuk datang ke sekolah berjumpa dengan rakan-rakan yang lain. Kehadiran murid-murid Tahun 1 juga amat memberangsangkan kerana melebihi 80%.
Program Transisi Tahun 1 ini amat baik untuk murid-murid khususnya buat mereka yang baru memasuki alam persekolahan formal. Justeru itu, program ini wajar diteruskan agar murid-murid mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran dan rakan-rakan baharu. Di samping dapat meluaskan pengalaman dengan bercampur-gaul dengan murid-murid lain yang mempunyai latar belakang yang berbeza.
PLC : PENGURUSAN BILIK DARJAH 2023
Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) berkaitan Pengurusan Bilik Darjah telah diadakan ada 12 April 2023 (Rabu). PLC ini diadakan berikutan daripada hasil Jelajah Pembelajaran (Learning Walk) yang telah dilakukan pada 6 April 2023 (Khamis) ke semua bilik darjah.
Hasil dapatan daripada jelajah pembelajaran tersebut, terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki. Di antara kelemahan tersebut adalah penyusunan kerusi meja murid yang tidak mengikut PAK21, papan kenyataan yang tidak dikemaskini dan keceriaan kelas yang kurang menarik.
Justeru itu, melalui PLC guru-guru akan dimaklumkan akan kelemahan tersebut supaya diatasi dengan segera. PLC seperti ini amat penting untuk memastikan bilik darjah berada di dalam keadaan yang kondusif dan berinformatif kepada murid-murid. Semoga perubahan dapat dilaksanakan untuk memastikan pembelajaran murid dapat dipertingkatkan pada masa hadapan.
Tuesday, April 11, 2023
MAJLIS PELANTIKAN PEMIMPIN MUDA SK BUKIT TAMPOI (A) TAHUN 2023
Majlis Pelantikan Pemimpin Muda SK Bukit Tampoi (A) telah dilaksanakan pada 10 April 2023 (Isnin) bertempat di tapak perhimpunan sekolah. Pada majlis tersebut, seramai 87 orang pemimpin muda sekolah telah dilantik secara rasmi. Mereka meliputi pengawas sekolah, penngawas pusat sumber, pengawas SPBT, Patrol Dengkil serta ketua dan penolong ketua kelas.
Watikah pelantikan telah disampaikan oleh En. Mohd Fadzli bin Mansor (Guru Besar) yang turut diiringi oleh En. Muhammad bin Ismail (GPK Hal Ehwal Murid). Setelah penerimaan watikah para pemimpin muda ini bersama-sama membaca ikrar aku janji yang diketuai oleh adik Chahaya binti Rahmat (Ketua Pengawas Sekolah).
Tahniah diucapkan kepada semua pemimpin muda yang telah dilantik. Jawatan yang diberikan adalah amanah yang perlu dipikul dan dilaksanakan dengan adil dan saksama bagi memastikan perjalanan program atau aktiviti sekolah dapat disempurnakan dengan jayanya. Semoga kalian sentiasa tabah dan sabar semasa menjalankan tugas sepanjang masa.
Chahaya binti Rahmat
(Ketua Pengawas Sekolah)
Lafaz Ikrar Aku Janji
Subscribe to:
Posts (Atom)