Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A)

Tuesday, April 30, 2019

KEMPEN MENCEGAH HFMD 2019



Kementerian Pendidikan Malaysia telah melancarkan Kempen Mencegah HFMD secara serentak di seluruh Malaysia. Kempen ini telah berlangsung pada 30 April 2019 (Selasa) pada pukul 9.00 pagi.

Tujuan kempen ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada warga sekolah tentang bahaya penyakit berjangkit seperti Penyakit Kaki, Tangan dan Mulut (HFMD). Penyakit ini mudah berjangkit melalui air liur, sentuhan cecair lepuh (blister) dan najis daripada mereka yang dijangkiti.

Tanda-tanda individu yang telah dijangkiti pula adalah seperti sakit kepala, hilang selera makan, ulser di tekak dan mulut, ruam dan lepuh di tapak tangan, kaki, lutut dan kawasan lampin serta demam.

Justeru itu, di dalam kempen ini murid-murid diberikan taklimat tentang penjagaan kebersihan diri melalui kaedah 7 langkah membersihkan tangan yang betul menggunakan Hand Sanitizer yang telah dibekalkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Sepang. Seramai 21 orang murid Tahun 1 telah dipilih untuk melaksanakan kempen baharu ini.








HARI GURU 2019


Selamat Hari Guru 2019 kepada semua guru di SK Bukit Tampoi (A) yang telah mencurahkan ilmu dan bakti demi kemenjadian murid di sekolah ini. Jasa dan budi guru-guru sekalian tidak dapat dinilai dengan harta benda. 

Guru yang diibaratkan seperti lilin yang membakar diri adalah perumpaan yang sangat sesuai kerana mereka berbakti tanpa mengira masa dan tempat dengan tidak mengenal bahasa atau warna kulit, tugas guru adalah untuk mendidik murid sehingga pandai membaca dan mengira.

Tema Hari Guru pada tahun ini adalah "Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi". Kini tugas seorang guru lebih mencabar minda, emosi dan tenaga bagi memenuhi inspirasi negara bagi melahirkan modal insan yang lebih cemerlang.

Justeru itu, SK Bukit Tampoi (A) dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah menganjurkan Hari Guru di peringkat sekolah pada 29 April 2019 (Isnin). Ahli Jawatankuasa PIBG yang baharu dilantik telah hadir bagi menunjukkan sokongan dan penghargaan kepada guru-guru sekalian. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Naib Yang Dipertua PIBG.

Ucapan ribuan terima kasih diucapkan kepada semua AJK PIBG yang sudi hadir ke sekolah dan menyertai perhimpunan menyambut Hari Guru bersama warga sekolah sekalian. Sokongan dan penghargaan yang diberikan kepada kami telah membangkitkan semangat untuk terus mendidik anak bangsa sehingga mereka berjaya.









Monday, April 29, 2019

PROGRAM HOREY!@TAMPOI 2019


Program Horey!@Tampoi merupakan satu program kesihatan bertujuan untuk mendidik, memeriksa dan memberi rawatan yang perlu terhadap penyakit kutu dalam kalangan masyarakat Orang Asli. Unit Kesihatan telah bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan bantuan Islamic Relief Malaysia (IRM).

Program ini telah dijalankan pada 26 April 2019 (Jumaat) bertempat di bilik darjah masing-masing. Seramai 53 orang penuntut dari UPM telah hadir bagi membantu memberikan pendidikan terhadap kepentingan penjagaan kesihatan diri. Selain daripada itu, mereka juga bertanggungjawab untuk memberikan rawatan terhadap penyakit kutu melalui kaedah mencuci rambut.

Hasil daripada program ini, ramai murid sekolah ini dikenal pasti mempunyai penyakit kutu. Justeru itu, langkah pencegahan perlu dilakukan dengan kaedah mencuci rambut. Rawatan yang diberikan hanya berkesan buat sementara sahaja kerana mereka akan dijangkiti semula apabila mereka pulang ke rumah masing-masing.

Langkah seterusnya adalah dengan masuk ke kampung khususnya ke rumah murid-murid yang terlibat bagi memberi rawatan kepada keluarga mereka. Oleh yang demikian, pihak IRM dan UPM perlu mendapatkan kerjasama di antara Batin dan Jakoa bagi menjayakan program tersebut. Semoga masalah penyakit kutu ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.










PROGRAM LATIHAN PENCEGAHAN KEBAKARAN SIRI 1 TAHUN 2019


Program Latihan Pencegahan Kebakaran Siri 1 Tahun 2019 telah diadakan pada 25 April 2019 (Khamis). Unit Keselamatan, Kesihatan dan Kebersihan (3K) adalah penyalaras bagi program ini yang diadakan dua kali setahun.

Tujuan utama latihan ini adalah untuk memberi kesedaran dan melatih kepekaan deria individu terhadap persekitaran. Semua warga sekolah yang terdiri daripada pentadbir, guru, murid, pengusaha kantin, pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan turut terlibat di dalam latihan ini.

Loceng sekolah akan dibunyikan panjang tanpa henti. Itu menandakan semua warga sekolah perlu menutup suis lampu dan kipas, diam, beratur dan menuju ke tempat berkumpul iaitu di tapak parkir bas sekolah. Kemudian, semua guru kelas akan menyemak kehadiran murid menggunakan salinan Buku Rekod Kehadiran bagi memastikan tiada sesiapa yang tertinggal.

Setelah selesai menyemak kehadiran, penerangan tentang prosedur dan kelemahan dalam pelaksanaan latihan akan diberitahu oleh guru keselamatan. Ini penting bagi mengelakkan kemalangan kecil daripada berlaku. Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan dan perlu diteruskan pada tahun hadapan.



Wednesday, April 24, 2019

PROGRAM HERO CILIK PEMAKANAN 2019


Program Hero Cilik Pemakanan adalah satu program berkaitan pemakanan. Program ini adalah usahasama di antara Unit Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Objektif program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan cara pemakanan yang sihat di dalam kalangan murid-murid dan menilai pengetahuan murid-murid tentang cara pemakanan yang sihat di dalam kalangan murid-murid.

Seramai 18 orang penuntut dalam jurusan Bacelor Sains Pemakanan dan Kesihatan Komuniti yang terdiri daripada 16 orang penuntut dan 2 orang wakil pensyarah yang terlibat secara langsung dalam program tersebut.

Pelbagai aktiviti telah diatur seperti Zumba, Antro & Pretest, Pengenalan Program, Interactive Sketch, Taklimat Piramid Makanan, Sesi Soal Jawab, Post Test dan Majlis Penyampaian Cenderamata. Murid-murid berasa sungguh gembira kerana diberi peluang untuk mengambil bahagian di dalam setiap aktiviti yang disediakan.

Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua penuntut dari UPM kerana sudi datang dan menjalankan program di sekolah ini. Kami sangat mengalu-alukan kehadiran anda semua demi memberi ilmu dan pengalaman yang berguna untuk murid-murid di sini.







Tuesday, April 23, 2019

KEMPEN GALAKAN MEMBACA 2019



Kempen Galakan Membaca 2019 telah dilancarkan dengan rasminya pada 22 April 2019 (Isnin) oleh Pn. Siti Saadah binti Mukrim (Guru Besar) SK Bukit Tampoi (A). Kempen anjuran Unit Pusat Sumber Sekolah (PSS) diadakan dari 22 hingga 26 April 2019 melibatkan semua murid.

Jadual pelaksanaan kempen ini adalah seperti dilampirkan gambar di atas. Antara aktiviti yang akan dijalankan adalah Jom Baca 10 Minit, Ejaan, Literasi Maklumat, Cari Kata, Mencipta Pantun dan Penulisan Certot.

Semua aktiviti yang dinyatakan diadakan dalam bentuk pertandingan yang akan dijalankan pada waktu pembelajaran di dalam kelas masing-masing. Justeru itu, setiap pertandingan akan diberikan hadiah bagi memberi motivasi kepada murid untuk meneruskan budaya membaca.